Manusia tetap Manusia.

Tuesday, December 19
Assalamualaikum,

Saya baru pulang dari Explorace Dejuni 2006. Tidak ada 'mood' untuk mengulas tentangnya. Penat.

Manusia tetap manusia. Banyak yang saya belajar sehingga hari ini. Sejauh mana kita harap seseorang itu berubah, sejauh itu dia mengecewakan kita. Namun, ada juga insan-insan yang tidak pernah kita harapkan, membuat kejutan dan menonjolkan sesuatu yang mengagumkan. Insan-insan seperti ini perlu kita contohi. Insan yang sanggup mengambil jalan yang belum diterokainya untuk membentuk dirinya baru. Insan yang merasakan perlu ada pembaharuan dalam dirinya. Insan yang menjadi sumber inspirasi kepada yang lain.

Saya amat menyanjung dan memuji insan-insan ini.

Sebagai hamba Tuhan yang selalu melakukan kesalahan, kita perlu memuhasabah diri kita supaya kita tidak jauh terpesong dan berada dalam kesesatan. Mengharungi hari-hari yang 'payah' membuat saya banyak berfikir bagaimana menjalani hidup yang sepatutnya. Memilih teman yang layak dan dapat membimbing saya ke jalan Tuhan.

Amar ma'ruf nahi munkar. Tiga cara yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w
:Tangan, mulut, dan hati. Sesungguhnya dengan hati adalah selemah-lemah iman.

"Ya Allah, aku mohon kepada-MU, Tuhan semesta alam, Kau bukakanlah hati mereka-mereka yang belum menemui kemanisan iman-MU. Bantulah mereka. Mereka dambakan pertolongan-MU. Amin."

~iman~




KOSONG

Thursday, December 14
Assalamualaikum,

Mata meliar merenung desktop komputer yang dipenuhi dengan laman-laman web kegemaran : dashboard blog diri sendiri, blog k.syaz, Conversation MSN dengan k.syaz, dan Windows Media Player pula berulang-ulang memutar lagu kegemaran berulang-ulang sehingga otak mulai menghafal bait-bait lagu yang tidak mempunyai maksud yang tertentu.

Hari ini hari keempat saya tidur lewat. Dalam lingkungan 3 pagi ke atas. Esok saya tidak boleh lewat. Perlu ke kedai membeli barang-barang camping (hari jumaat, sabtu, ahad, dan isnin). Hari Jumaat saya dikehendaki berada di SEKOLAH tercinta tepat jam 7.30 pagi.

Minggu depan pula saya perlu merancang short vacation untuk 5 SAF. Cadangannya adalah untuk pergi ke Melaka Bandaraya Bersejarah. Bermandi-manda di Tanjung Bidara dan round-round Bandar Hilir. Belum lagi saya menelefon cikgu untuk mengesahkannya dan perkhidmatan bas untuk ke sana pun belum diuruskan. Saya terlalu sibuk. Semalam, kami mengadakan kenduri doa selamat sempena keberangkatan Cik Su, Ayah Sin, Mek Jerteh dan Mak Cik Rowa ke Tanah Suci Makkah. Kepenatan masih lagi terasa.

Akhir tahun nanti, kami akan pulang ke Kelantan untuk merayakan Hari Raya Haji di sana (saya mesti balik untuk cover Aidilfitri-saya tidak pulang berhari raya kerana hendak menumpukan perhatian terhadap pelajaran). 3 januari mungkin hari yang paling tenang dalam sejarah hidup saya. Semua murid akan memulakan sesi persekolahan sesi 2007, manakala, saya berada di rumah untuk menikmati hidup!

15-16/12: EXPLORACE DEJUNI- K.Kangsar.
20@21/12: 5 SAF - Melaka
23/12: Eza's house/ Yusra fly to Swiss
27/12/06-1/1/07: Raya Haji - Kelantan
3/1/07: REAL LIFE- Home sweet home!


Chow~
eyman

DEJUNI is BACK!

Monday, December 11
Assalamualaikum.
Kepada semua batch 12 AL-AMIN, sila daftarkan diri anda di
Kerjasama anda amatlah dihargai!
~eyman~

Seterusnya??? What Next????

Assalamualaikum,

Hari-hari yang mendatang amatlah kosong dan BUHSAN....OWH~~ Apa-apa pun, this is my friend's blog. Sakina.

www.pepel-me.blogspot.com

Sakina and I become close since Form 3 because we sat beside each other in class (memory of 3 AST). Since then, every time we met, the moment will be as havoc as ever...


Gamba ni masa Form 3. Masing-masing masih muda dan remaja. Sakina memang seorang yang teramat kreatif. If you give her only a piece of paper, she will turn it to a beautiful artwork. She's really gifted.



Plans? I dont have any plan. Maybe just do a lot of writing to earn some money...( I need more money!!) Well, the biggest project is to lose some weight. O God, please bless me!


Some of my friends decided to work. Well, actually, i'm also working, but as a 'bibik' at my own home.. The boss is my dearly mother. Meeting old friend last saturday was a good moment. Some of them really changed while others still the same old them.



Yusra will go for Swiss in 2 weeks. She's lucky. I told her to pray for me so I can be there ASAP. Being a school leaver is not something cool or wonderful. Maybe, i used to think like that, but after being the 'real' school leaver, i'm lost. I really dunno what to do. Very hopeless. Maybe i'm schoolsick! OWH~


As i told before, 11 years such a long period. The truth is, i miss school.








AL - AMIN
memori yang dikarang bersamu,
mekar bak kuntuman bunga,
mewangi seharum firdausi.

AL - AMIN
dikala aku mencari,
meminta,
menolak,
dikau memberi,
tiada noktah.

AL - AMIN
ku teruskan jua perjuangan ini,akanku tepis keluh kesah mendatang, tahan gelisah merunjang, tabah menghadapi jerit-perih kesakitan,demi secangkir restu,
buat bekalan,
nanti.

AL - AMIN
jutaan pertemuan dan perpisahan,
diharungi,
namun
tetap tersenyum megah,
menepis rasa geramang di sukmamu,
menanti mentari kembali,
untuk menyemai benih baru.



Al - AMIN
Saat itu
Bait-bait janjiku masih belum terlaksana,
Aku terpaksa pergi,
Kata mereka,
perpisahan itu,
adat pertemuan,
tidak kubiarkan jasad hina ini
melupakanmu,
kota perjuanganku,
Al-Amin tercinta.


* Sajak ni tulis masa F3.. Ada sikit *kureng*...hehe













Dah Habis. Yey yey......

Friday, December 8
Assalamualaikum,

Secara rasmi, saya bukan lagi budak sekolah!


~eyman~

Perhitungan telah tiba!

Tuesday, November 14
Assalamualaikum,

Saya menyusun sepuluh jari, memohon keampunan atas keterlanjuran 'post-post' saya yang mungkin telah menggores hati anda. Saya juga insan biasa, tidak terlepas dari kesilapan dan kesalahan. Doakan kejayaan saya. Semoga Allah memberikan yang terbaik untuk saya di dunia mahupun di akhirat. Hingga ketemu lagi.. Daa~..

15-7 DISEMBER 2006
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA

..eymanD..

Ramadhan...(Dan nak habis dah)

Thursday, October 12
Asslamualaikum,

Cepat sangat masa berlalu. Ramadhan mula memasuki 10 malam terakhir. Apa persedian anda? Mahu Lailatul Qadr menjenguk anda?

Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan orang yang diberi keistimewaan oleh Allah untuk merasai kemanisan Lailatul Qadr-NYA. Amin.

Cepat sangat masa berlalu. Bulan depan SPM akan bermula. Aduh! Doakan saya berjaya.

Adios,
eymanD

p/s: Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua. Maaf Zahir Batin.

SPM: 14 Nov-7 Dis

Sesekali kita perlu menoleh ke belakang..

Monday, August 28
(tajuk post yang tidak ada kena mengena lansung - saya agak)

Pejam celik sahaja, saya kini berusia 17 tahun - murid tingkatan lima yang sedang menghitung hari untuk bebas dari sistem persekolahan [ bukan menghitung hari untuk menduduki SPM ] . Memang menyeronokkan apabila kita bebas dari dunia persekolahan dan menjejakkan kaki ke alam yang baru. Semua baru.

Saya juga seronok apabila memikirkannya. Saya akui saya sudah menyenaraikan beberapa perkara yang ingin saya lakukan apabila saya tamat sesi persekolahan saya. Kesimpulannya= memang seronok+sangat ghairah+sangat bahagia apabila kita sudah tidak menyarung baju seragam sekolah lagi, tidak perlu bangun tepat jam 5.45 pagi lagi, tidak perlu menggosok baju sekolah lagi, menjahit lencana, memakai kasut sekolah, menunggu bas dan bermacam-macam lagi.

Namun, di celah-celah kegembiraan yang menggunung, jauh di ceruk hati, amat berat bagi saya untuk meninggalkan alam persekolahan. Mungkin saya akan dianggap sebagai seorang yang terlalu beremosi ataupun sentimental. Tapi ini kenyataan. Selama 11 tahun hidup saya 'terikat' dengan sistem pendidikan negara. 11 TAHUN! Bukan satu tempoh masa yang singkat. Saya dididik dengan pelbagai ajaran. Adanya guru-guru yang selalu memberi bimbingan dan nasihat. Adanya rakan-rakan yang banyak membantu ketika suka dan duka. Adanya sokongan keluarga. Boleh dikatakan mereka-mereka inilah yang telah 'membentuk' saya sebagai saya pada hari ini.

Kenangan-kenangan seperti dimarahi guru, didenda, kerja rumah yang bertimbun, aktiviti sukan yang tidak disukai, warung-warung kopi yang sudah pun membuka cawangan-cawangan tetap dan rakan-rakan seangkatan yang tidak segan silu untuk memberi dan menerima. Hanya Tuhan yang tahu sejauh mana keakraban kami.

Saya tahu, dunia yang bakal saya tempuh bukan lagi dunia 'permainan' yang sudah saya tempuhi selama 11 tahun. Dunia yang berada di depan saya adalah dunia yang lebih serius dan boleh saya katakan medan peperangan yang sebenar. Medan di mana saya akan diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Lebih memeritkan, sebuah dunia yang harus saya tempuhi seorang diri.

Saya dapati ramai orang takut-takut meluahkan apa yang terbuku di hati. Mereka takut digelar beremosi ataupun seperti saya dan rakan-rakan selalu labelkan: EMO. Nasihat saya kepada mereka dan juga kepada diri saya, jangan pendam apa yang ingin diluahkan kerana masa depan tidak boleh diramal. Kita bukan ahli nujum.

Hari ini kita berjanji akan sehidup semati
Esok lusa so idup so mati

Hari ini kita punyai ramai kawan
Esok lusa kita keseorangan

Hari ini kita memendam perasaan
Esok lusa kita tiada kenangan yang boleh dikenang

Maafkan saya jika saya beremosi. Namun, inilah yang lahir dari hati seorang pelajar tingkatan lima yang sedang menghitung hari untuk menamatkan sesi persekolahannya sekaligus memulakan zaman pra-dewasanya.

Sesekali kita perlu menoleh ke belakang...

eyman D.




Selangkah ke depan @ ke belakang?

Saturday, July 22
Assalamualaikum

July-November: PUI - program ulangkaji intensf
November-December: SPM

With 4 months to go and 12 subjects to revise. Can I succeed? Owh~ Pray for me and wish me all the best!

Chow~,
iman

SPM countdown: 115 days

Tuition:

Monday: BAT
Tuesday: Chemistry dan Physics
Wednesday: Physics
Thursday: Additional Mathematic
Friday: Additional Mathematic
Saturday: Study group

Lemas!

Friday, May 26
Assalamualaikum,

Sudah lama tidak menulis. Kebas pula tangan ni. Hehe. Peperiksaan semester 1 baru sahaja melabuhkan tirai semalam menyaksikan saya menjawab kertas KIMIA dengan penuh jawapan yang semestinya akan memeningkan kepala Cikgu Hasnah. Hehe. Cikgu, ampun dan maaf dipinta terlebih dahulu.

Hari ini di sekolah, kami - para nuqaba' /Pengawas mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru. Lewat sepuluh hari dari tarikh hari guru yang sebenar. (Pada 16 Mei, peperiksaan sudah bermula) Bermacam aksi dan gelagat guru-murid dapat disaksikan pada hari ini. Sepatutnya saya bertugas sehingga jam 1 tengahhari, namun, saya terpaksa mengundur diri lebih awal.

Satu pengajaran yang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila. Pelihara hakcipta karya anda! Saya sudah serik memberikan karya-karya saya kepada tatapan junior di sekolah. Akibatnya.. karya saya diciplak! Saya akan lebih berhati-hati di masa hadapan. Karya saya adalah mahal dan anda tidak boleh meniru karya saya sewenang-wenangnya! Geram!

Adakah anda semua tahu anda boleh dikenakan tindakan undang-undang jika menciplak/tiru/cuplik dsg. karya orang lain? Geram!

Saya tidak mahu mengulas hal tersebut dengan lebih panjang lebar. Mungkin saya akan meleret-leret hingga menulis sesutau yang saya tidak ingin tulis. Saya ingin memberitahu kepada semua orang di luar sana agar lebih menghormati hak orang lain. Tidak salah anda menjadikan sesuatu karya sebagai panduan dalam menulis karya anda sendiri, TETAPI, janganlah tiru bulat-bulat ayat dan jalan cerita karya tersebut. Anda tidak akan menjadi anda tetapi hidup di belakang bayang-bayang penulis tersebut.

Kini, musim cuti sekolah akan tiba. Tapi, tiada istilah cuti bagi saya.

27/5-1/6 : Bengkel SPM
1/6-6/6 : Balik Kelate
7/6-11/6 : Kelas Tambahan/ Tuisyen/ Tamrin/dsg.

Have a nice HOLIDAY!

~eyman

SEMI-FINALIST!

Tuesday, April 18
Assalamualaikum,

Maaf. Lama menghilang diri. Sibuk dengan Kejohanan Debat Piala UIAM kali ke-5 (berakhir pada hari ini, menyaksikan SBPI Gombak sebagai Johan. MCKK Naib Johan dan SMIAA di tempat ketiga)

Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara lansung atau tidak lansung dalam usaha membawa kami ke peringkat semi-final. Jasa dan pengorbanan anda juga kami tidak akan lupa sampai bila-bila.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada AJK-AJK yang telah banyak berusaha untuk menjayakan kejohanan ini.

Kami telah buktikan bahawa semua orang mempunyai taraf yang sama dan masing-masing boleh mencapai sesuatu tahap yang tinggi pada bila-bila masa. Jangan kita merendah-rendahkan seseorang kerana lahiriyyahnya namun lihatlah kelebihan yang ada disebaliknya!

SMIAA BOLEH!
Hajat kami tidak kesampaian kerana kami teramatlah berbesar hati jika kami dapat bertemu MCKK di Dewan Parlimen!

we're looking foward to see you guys(MCKK) in the future! :P

mohon persidangan ditangguh!
YB Nuruliman Dashuki.

Kenangan

Monday, April 3

Assalamualaikum,

Gambar-gambar Hari Raya Aidilfitri-November lepas. No comment... :




1st Syawal-RAWANG









3rd Syawal-KELANTAN
Tart saya! (Memang hodoh, tapi rasanya
sedap!):P
Tart lagi...
-iman-

sukan+sukan+sukan

Wednesday, March 29
Assalamualaikum,

Sukan, sukan, sukan...

Semalam telah diadakan ujian tara yang sememangnya WAJIB dihadiri oleh semua pelajar. Seperti biasa, sesi ujian tara adalah satu sesi yang amat dibenci oleh para murid dan cikgu.

UJIAN TARA:

Lontar peluru : +- 1.5 meter
Larian : 65 meter dalam 11 s.

Mengapa WAJIB?
: kerana markah akan diberi.

1 M untuk kehadiran
1 M untuk lontar peluru (kalau lepas)
1 M untuk larian (kalau sampai sebelum 11s)

Terus terang saya katakan, saya amat membenci sesi ini kerana:

1. Saya tidak pernah mendapat satu markah untuk lontar peluru
2. Saya tidak pernah mendapat satu markah untuk larian.

Kebiasaannya saya hanya kan mendapat satu markah untuk kehadiran. Tambahan pula, petang semalam, cuaca amatlah terik+panas. Mencecah 40C saya kira. Apa-apa pun saya syukur sesi tersebut sudah berlalu.

Sukan, sukan, sukan

Pada hari ini pula, aktiviti usrah telah ditunda kepada minggu hadapan(mengganti aktiviti kelab+persatuan - kami[saya dan rakan sekelab] berasa amatlah sedih) kerana latihan/raptai perbarisan diadakan. Hanya tuhan saja yang tahu betapa penatnya berkawad ke sana ke mari. Latihan nasyid pula,hanya tuhan saja yang tahu...


to be continued...

eyman D.

1001cerita:Suka+Duka

Sunday, March 26
Assalamualaikum,

Sepanjang minggu lepas, jadual saya teramatlah padat tetapi tidaklah ketat. Seperti biasa, tuisyen+kerja rumah yang menggunung masih menjadi agenda utama dalam kotak pemikiran saya. Walaupun pelbagai perkara menanti saya, saya tetap dapat menyumbangkan tenaga kepada rumah sukan saya: Al-Fatah untuk merebut tempat pertama di dalam acara bola tampar. Sememangnya laluan kami agak sukar. Tahun lepas, kami gagal mendapat pingat dalam acara tersebut. Tahun ini, kami kembali dengan semangat baru-untuk memburu pingat emas.

Pusingan pertama menyaksikan Al-Fatah bertemu Al-Solah yang merupakan musuh tradisi. Laluan kami mudah. Kami memenangi perlawanan tersebut(2-0). Kegembiraan tidak terkira kerana tempat kedua atau tempat pertama sudah dalam genggaman. Pada hari Jumaat, pasukan kami bertemu pula dengan An-Najah(boleh dikatakan juara bertahan). Seperti yang dijangka, amat susah kami hendak menundukkan pasukan tersebut. Kami tewas 0-2 dengan An-Najah. Pingat perak menjadi milik kami. Alhamdullillah. Saya menutup tirai sukan saya di Al-Amin dengan pingat perak. Sesuatu yang akan menjadi kebanggaan saya sampai bila-bila.

Semalam pula, saya dan keluarga pergi ke Pesta Buku Antarabangsa yang berlansung di PWTC. Pada mulanya, saya merancang hendak pergi bersama rakan-rakan tetapi terpaksa dibatalkan kerana abah dan umi pun hendak ke sana. Jadi saya mengambil keputusan untuk berjumpa mereka di sana.

Kami bertolak pada pukul 11.25 pagi. Seperti yang diketahui, keadaan di sana amatlah sesak, ditambah pula dengan pameran direct selling yang turut berlansung di PWTC. Sesudah sampai saya terus menuju ke booth Karangkraf untuk mendapatkan koleksi Dewan Masyarakat sepanjang tahun lepas. Sayang sekali apabila D.M bulan November dan Disember sahaja yang dicetak semula. Selepas itu saya menuju ke booth Dawama dan membeli Majalah Tunas Cipta dan sebuah karya A.Samad Said:Lantai T.Pinkie. Akhir sekali saya ke booth Sasbadi dan Cerdik untuk membeli buku-buku latihan SPM.

Pelbagai aksi dan ragam manusia yang saya temui di sana. Seseorang yang paling saya tidak sangkakan untuk terjumpa ialah Salim Soccastar. Seperti biasa penulis-penulis novel Alaf 21 akan menghiasi booth Alaf 21 dan para artis di booth karangkraf. Keadaan di booth karangkraf amatlah sesak dengan kehadiran mereka. Maka peminat-peminat pun bergegas ke sana ke mari untuk bertemu dengan penulis kesayangan dan artis kesayangan mereka. Ya. saya juga seperti mereka satu masa dulu. Terasa amat bangga apabila dapat bersua muka dengan penulis novel kegemaran saya. Mulalah bertanya di mana beliau mendapat idea untuk menghasilkan novel yang begitu menyentuh hati/romantik/dan lain-lain. Semua itu DULU. Selepas menyertai MPR, saya seperti takut untuk membaca novel-novel itu lagi. Mungkin takut dilabel gersang oleh Faisal Tehrani. Mungkin.

Apa yang sebenarnya ialah, bukan saya tidak membaca novel-novel cinta lagi, cuma kurang selepas saya menyedari bahawa sesuatu karya yang baik untuk di baca bukanlah diukur dengan kehadiran watak heronya yang kacak+baik ataupun heroinnya cantik+naif, tetapi sesuatu karya yang baik dan memberi impak yang amat besar ialah sebuah karya yang menyentuh tentang pemikiran manusia tentang pelbagai perkara. Kehidupan realiti manusia dan bagaimana untuk mengatasi kemelut yang melanda. Kini, saya begitu tertarik dengan novel-novel hasil nukilan penulis seperti Faisal Tehrani. Pemikiran yang matang dan serius ditonjolkan dalam karya-karya beliau telah mengajak saya untuk berfikir dan menganalisis setiap perkara yang berlaku di sekeliling saya. Boleh dikatakan novel beliau, KOMBAT: 1511H banyak mempengaruhi hidup saya sekarang. Gaya penulisan beliau memang first class!

Menulis memang satu perkara yang amat menyeronokkan di mana kita menulis sesuatu dan akan dinilai oleh masyarakat pembaca. Bagi saya, saya hanya akan menulis apabila mendapat satu isu yang memang saya rasakan amat perlu dinilai dan dianalisis. Oleh sebab itu, saya jarang menulis kerana saya mahu karya saya juga mencapai tahap first class. Bagi sesetengah penulis, mereka mudah mendapatkan isu yang baik. Sekali jari dipetik, sepuluh isu boleh dibawakan. Terus terang saya katakan, saya bukan begitu. Kadang kala saya agak lumpy untuk memahami sesetengah perkara dan agak perlahan untuk menyuarakannya sebagai satu tulisan untuk tatapan semua. Saya akui saya takut dikritik. Amat takut. - salah satu faktor kenapa saya kurang menulis. Hehehehe. (bukan kerana malas) Saya akan cuba atasi masalah ini. :)

InsyaAllah saya akan cuba membaiki sikap takut dikritik dan akan terus menulis.

Projek tertangguh:

1.Gerak gempur -Drama
2.Biladur Nur (tajuk sementara) -Cerpen
3. Zaidi(tajuk sementara) -Cerpen
4. Tangisan Empayar Habsburg -Cerpen

.::.iman.::.
Hari esok akan lebih baik dari hari ini.

MilikNYA

Assalamualaikum,

Entah mengapa saya terkenang peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada saya sepanjang tahun lepas dan awal tahun ini selepas membaca blog seorang yang secara umumnya, mempunyai masalah yang sama dengan saya -usaha dan pengorbanan diri tidak dihargai orang, dalam hal-hal tegur-menegur, amal ma'ruf nahi munkar- Sebenarnya itu adalah secara umum. Terdapat banyak lagi cabang kepada permasalahan tersebut.

Namun tuan punya blog berkenaan seolah sudah puas dan bosan dengan sikap manusia di sekitarnya serta sudah hampir berputus asa, lantas sibuk mencanang usaha dan pengorbanannya serta merayu agar uasahanya dihargai walaupun sedikit. Baginya segala usahanya tidak bererti bagi manusia disekitarnya. Katanya, dia boleh tidak melakukan apa-apa [ usaha berdakwah/menolong/membetulkan rakan/kawan/sahabat/masyarakat sekitarnya], tetapi dia tidak mahu. Bagi saya, dia adalah seorang yang strong. Tidak mahu mengalah walaupun semangatnya hampir pudar dan hampir berputus asa. Jangan berputus asa, kerana Allah menyayangi mereka yang berjuang di jalanNYA!

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Daripada Hudzaifah R.A, bahawa Rasulullah bersabda:" Demi nyawaku ditanganNYA, wajib kamu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran atau (kalau tidak) pasti Allah akan turunkan azab kepadamu, kemudian kamu berdoa, maka tidak diterima doamu." (Riwayat Tarmizi)

Allah berfirman dalam surah Al-i-Imran:104 yang bermaksud: " Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebaikan (mengembangkan Islam), dan menyeru berbuat perkara yang serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan mereka (yang bersifat demikian) ialah orang yang berjaya."

Dia seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih berhikmah jika mahu terus berjuang dalam perjuangan yang memang dijamin olehNYA. Cuma dia hendaklah lebih bersifat strategik. Senang sahaja, ambil Rasulullah s.a.w sebagai contoh. Adakah anda semua masih ingat peristiwa di Taif? Tidak perlu susah-susah kita mengambil sirah Rasulullah berdakwah di Taif, cukuplah jika kita mengenang kembali usaha-usaha yang dilakukan oleh baginda kepada ayah saudara kesayangannya, Abu Talib. Hingga di saat-saat akhir Abu Talib, baginda berusaha sedaya upaya untuk mengislamkan Abu Talib.

Tidak pernah baginda merasa lemah/lemah semangat apabila usahanya ditolak, dikritik, dikeji orang. Apa yang baginda lakukan ialah terus berdoa supaya Allah membuka pintu hati mereka untuk menerima nur dan hidayah dariNYA. Baru satu contoh. Belum lagi dikeluarkan contoh-contoh lain yang banyak tak terhingga jumlahnya. Malulah kita kepada Rasulullah dan umat terdahulu yang tidak pernah merungut dan merasa susah dalam menjalankan dakwah. Astaghfirullah!

Bagi saya, setiap kebaikan yang kita kerjakan, ada hikmah manfaat tersendiri. Biar tiada orang yang menghargai namun, Dia akan menghargainya. Bukan semua yang dilakukan akan disukai orang. Saya akui perkara tersebut. Tidak semua orang akan menjadi seperti kita. TIDAK! Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk berhenti dari melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Cukuplah jika kita ada kesamaan dalam sesuatu perkara. Terutama dalam hal-hal agama, lebih-lebih lagi dalam hal-hal berkaitan hukum. Perkara lain tidak perlulah kita sentuh, itu adalah hak individu.

Rasanya cukup sudah saya 'mengkritik' empunya blog. Ampun maaf dari saya, sekadar menyuarakan ketidakpuasan kerana hal-hal remeh seperti ini sepatutnya diuruskan dengan mudah oleh orang yang makan garam lebih dari saya. Sepatutnya mereka lebih menumpukan perhatian kepada permasalahan yang melibatkan majoriti, bukannya yang bersifat minoriti. Kata-kata saya ini adalah kata-kata yang tidak profesional, mungkin. Teringin menyuarakan pendapat.

Segala yang buruk dari saya:

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Segala yang baik semestinya dari ALLAH s.w.t:

Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

eyman D.
"Sesungguhnya Allah bersama dengan golongan yang sabar.

Banyaknya!

Sunday, March 19
Wow! Banyaknya!

Assalamualaikum.

Bertemu kembali. Hari ini merupakan hari terakhir cuti sekolah. Esok sesi persekolahan 2006 akan disambung semula. Sepanjang cuti sekolah ini, jadual saya amat padat dan penuh. Hari Sabtu dan Ahad lepas, saya menghadiri bengkel Skor A SPM [Fizik dan Kimia] di Muzium Negara. Hari Isnin hingga Khamis pula saya menghadirkan diri ke bengkel SPM [Bahasa Melayu, Mat. Tamb. & Biologi] anjuran Kelab Kelas Ting. 5 sekolah saya di Research Centre, UIAM. Pada malam hari pula, saya sibuk dengan kelas tuisyen Kimia, Fizik, dan Biologi di Titian Cahaya.

Hari Jumaat, saya hanya berehat di rumah [kalau mengikut jadual yang dirancang, latihan debat bagi wakil sekolah diadakan pada pukul 3, tetapi telah dibatalkan kerana tutor kami dari UIAM sedang menghadapi exam]. Hari Sabtu dan Ahad pula kami sekeluarga pulang ke kampung bagi meluangkan masa dengan nenek, Wan, Cik Za, Apis, Amie and papok meran's family. Kami sekeluarga tiba di Kuala Lumpur lebih kurang pada jam 3.15 petang.

Wow! Banyaknya!

Pada hari esok sahaja saya perlu submit sekurang-kurangnya 6 homeworks dan pada awal pagi esok-sesudah perhimpunan pagi, saya akan menghadapi ujian Kimia [Bab tindak balas kimia, sebatian karbon, dan pengoksidaan dan penurunan]. Sehingga detik sekarang, saya baru sahaja mengulangkaji hingga bab ke-2. Terasa terlalu 'pening' dengan formula-formula yang tidak terhingga banyaknya, lantas saya duduk tercongok di hadapan laptop abah dan mula menaip. Homework BM pula tidak terkira banyaknya. Waduh.Waduh. Semuanya perlu dihantar selewat-lewatnya hari Selasa. Ujian Lisan BM SPM individu pun belum saya jalani. Ujian Lisan SPM BI berkumpulan pula akan menyusul.

Ust. Hafis memberikan kerja rumah BAT yang bilangan muka suratnya mencecah berbelas-belas. OoOoOoOo~. Hingga sekarang juga saya masih mencuba untuk menyiapkan kerja rumah Mat. Tamb. dan Mat. Mod. yang masih belum siap dari Januari. Ouch!*. Semua itu baru sahaja 1/4 dari kerja-kerja rumah yang perlu disiapkan dengan segera, belum ditambah dengan proses mengulangkaji 12 matapelajaran silibus tingkatan empat, entah bila boleh disiapkan.

Wow! Banyaknya!

Mengenai aktiviti ko-kurikulum pula. Seawal April nanti, saya dan team debat akan menyertai UIAM Interschool Debate buat kali yang kedua. Tidak memburu tempat, tetapi memburu pengalaman. Pada bulan Mei/Jun pula Piala MGB pula akan diadakan. Piala Al-Amin juga termasuk dalam agenda tahunan ko-kurikulum saya. Tamrin MT02 juga akan dilaksanakan pada bulan Mei/Jun. Lawatan/KPPK Hi-Tea/ debat persahabatan juga akan menanti saya dalam masa beberapa bulan akan datang.

Ramai yang merasakan ini semua kerja gila. Bagi saya tidak. Tidak sama sekali! Ramai orang boleh melakukannya termasuk saya. Semua ini memerlukan time management yang amat baik. Saya akan cuba mengatur masa dengan lebih baik. Apa gunanya jika seseorang itu hanya berjaya dalam bidang akademik tetapi gagal dalam ko-kurikulum dan sebaliknya. Saya tahu saya tidak berbakat dalam aktiviti sukan ataupun aktiviti JPA/Syabab, mungkin ini saja yang boleh menjadi poin tambahan semasa mendaftar di IPT/ untuk mendapat biasiswa. So, I will try my best to do the best and be the best! Wohoooo!

Wow! Banyaknya!
iman.
Jika anda menemui jalan buntu, jangan berputus asa atau mara ke hadapan, tetapi cuba undur ke belakang, dan anda akan menjumpai satu simpang yang penuh dengan harapan.

MAC 2006

Saturday, March 4
Manusia.
Tidak pernah puas.

Assalamualaikum.

Saya baru sahaja pulang dari Kursus MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) yang diadakan di sekolah. Penat masih belum hilang. Awal pagi tadi, latihan JPA bulanan diadakan. Berkawad selama 2 jam dan melatih asas kemahiran (membuat menara kawalan daripada buluh) selama 2 jam ditambah pula dengan masalah-masalah 'kecil' yang berlaku di sekeliling saya.

Dalam masa dua bulan kebelakangan ini, terlalu banyak perkara yang terjadi disekeliling kita. Terutama peningkatan harga minyak sebanyak 30 sen dan banjir di bandar seperti Shah Alam serta aduan pengguna air di kawasan Lembah Klang mengenai 'air busuk' . Semua yang terjadi ini sedikit sebanyak mempunyai impak terhadap saya.

1. Apabila harga minyak naik dengan mendadak, pelbagai masalah akan timbul. Contohnya kenaikan harga barangan akibat daripada kos operasi yang turut meningkat. Hal ini memberi satu kesan yang amat besar kepada warga kota seperti keluarga saya. Mungkin kepada pekerja yang mempunyai gaji tetap tidak perlu risau akan masalah ini. Namun, bagaimana pula akan pekerja-pekerja yang tidak mempunyai gaji tetap dan bagi mereka yang berpendapatan rendah tetapi mempunyai keluarga yang harus disara? Tidak sengsara dan menderitakah mereka?

Sebenarnya semua ini adalah kesan daripada pergolakan politik antarabangsa. Mangsanya adalah kita. Seharusnya penyelesaian yang bijak harus diambil bagi pemimpin supaya masalah seperti kenaikan harga minyak dapat diatasi. Tahun lepas sahaja sudah menyaksikan kenaikan harga minyak beberapa kali dalam masa enam bulan. Sebenarnya, masalah ini boleh diatasi dengan bijak dan cermat. Adakah kita mampu melaksanakan kehidupan harian kita dengan bijak dan cermat? Bagi saya, jika dilihat dalam konteks murid sekolah, masing-masing masih tidak boleh lagi melaksanakan hidup dengan bijak dan cermat. Semuanya masih terumbang-ambing walaupun sudah boleh menjadi ibu dan ayah kepada seseorang.

Semua ini harus diambil kira bagi membentuk sebuah masyarakat yang maju dan berilmu di masa akan datang. Jika sikap membuat keputusan yang bijak tidak dipraktikkan ketika umur masih muda remaja, impak atau kesannya boleh dilihat apabila seseorang itu dewasa.

Apabila dia bekerja, kita boleh melihat cara kerjanya yang tidak teratur.
Apabila dia mendirikan rumah tangga, kita boleh melihat dia menggunakan cara yang salah untuk mendidik anak-anak.

Saya akui bahawa semua ini belum saya lalui, namun perancangan dan usaha untuk membaiki diri perlu ada dari sekarang. Saya juga mengakui bahawa kita merancang dan Allah menentukan, tetapi, Allah akan melihat juga sebanyak mana usaha yang dilakukan bagi menjalankan sesuatu perkara itu.

2. Banjir.Banjir.Banjir.
Semua itu datang dari Allah atas sebab-sebab tertentu. Mungkin itu adalah satu proses 'penghapusan dosa' yang dilakukan oleh Allah kepada hamba-hambanya. Cuba kita lihat kejadian Tsunami yang berlaku dua tahun lepas. Adakah bencana itu adalah satu bencana semata-mata atau ada maksud yang tersirat sebaliknya. Hukuman Allah terdiri daripada berbagai jenis. Ada yang mengatakan bahawa jika seseorang itu sakit, Allah sedang menghukumnya atas dosa yang dilakukan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui!

Allah itu Maha Adil. Satu persoalan yang kini saya cuba renungkan. Adilkah manusia? Pada zaman ini, kita menyaksikan keadilan adalah sesuatu yang boleh dijual dan dibeli. Nilai ataupun kepuasan keadilan sudah tiada lagi. Walaupun saya bukanlah berasal dari zaman Rasulullah dan para Sahabah mahupun Tabi' dan Tabi' tabiin, saya rindukan sistem keadilan Islam yang dilaksanakan pada zaman tersebut. Satu sistem yang diiktiraf semua, sumbernya - Al-Quran dan As-Sunnah. Seseorang itu dibuktikan bersalah, dia rela dihukum. Diam. Tidak melawan.

Tidak perlulah saya menceritakan perihal 'orang-orang' kita. Seperti satu ungkapan yang dipetik dari bahasa pasar :'Sendiri mau fahamlah'.

Adilkah kita?
Kita sahaja yang mengetahuinya.
Jangan kita lupa.
Allah juga mengetahuinya.

3. Keadaaan di rumah saya kecoh apabila air berbau busuk. Bau lumpurlah. Bau najislah. Macam-macam pendapat diberikan. Pada mulanya abah merasakan bahwa tangki di rumah kami sudah kotor dan perlu dicuci. Rupa-rupanya, masalah ini dialami juga oleh penduduk-penduduk di sekitar Lembah Klang. Natijah daripada aduan-aduan, dua tiga hari selepas itu, pihak-pihak tertentu memberi kenyataan di dalam akhbar. Salah satu kenyataan berbunyi:

'...overflow has caused...'.

Tidak lama selepas itu, ramai membuat andaian sendiri. Semalam muka depan sebuah surat khabar berbunyi:

'Air 'busuk' suci'.

Saya terfikir, bagaimanakah keadaannya jika air tersebut tidak suci? Sahkah solat saya? Hanya perkara itu yang berlegar-legar dalam fikiran saya. Seharusnya, pihak tertentu/bertanggungjawab menjelaskan sejelas-jelasnya tanpa berselindung kerana ini melibatkan hal terpenting bagi seorang Muslim. Kesucian diri. Yalah, kita melaksanakan solat 5 kali sehari. Namun, kita serahkan sahaja soal menilai ibadah kita pada yang Satu kerana dia lebih mengetahui.

Satu senario yang pernah saya alami - 'Berselindung'. Perlukah kita berselindung? Dari sudut bahasa berselindung membawa pelbagai makna. Apa yang ingin saya sentuh ialah berselindung daripada kebenaran. Sesuatu yang bertentangan dengan prinsip saya kini. Kebenaran itu memang pahit dan kita perlu perjuangkannya kerana kebenaran itu juga manis.

Sedikit sebanyak tentang apa yang terjadi disekeliling saya. Moga-moga anda semua dapat sedikit sebanyak manfaaat.

Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang berjuang dijalannya dan Allah memurkai orang-orang yang mengingkari suruhannya.

Wallahualam
Baik dari Allah
Buruk dari saya

.iman.


Erti Persahabatan, Erti Perpisahan

Friday, January 20
Assalamualaikum.

Awwalan, saya ucapkan selamat tahun baru kepada semua. Moga-moga azam baru sudah berada dalam proses perlaksaaan. Saya masih lagi sibuk. Saya juga tidak tahu sudah berapa kali saya mengungkapkan ayat tersebut. Mungkin sudah mencecah ribuan kali.

Hari ini adalah hari yang keenam saya bersekolah. Apa yang boleh dibanggakan ialah dalam tempoh eman hari tersebut, saya sudah mencipta rekod peribadi apabila tidak pernah terlelap walaupun 5 minit di dalam kelas. *Salah satu daripada azam tahun baru dalam perlaksaaan. Umi dan abah pula akan pulang dalam tempoh enam hari lagi. Tidak sabar rasanya hendak bertemu mereka selepas lebih 30 hari tidak bersua.

Tahun 2006 merupakan tahun yang penuh cabaran dan dugaan walaupun baru sahaja 20 hari saya mengharunginya. Tahun yang banyak mengajar saya supaya lebih banyak bersabar dan sentiasa meminta pertolongan dan petunjuk dariNYA. Tahun yang mengajar saya erti persahabatan. Tidak kira persahabatan yang sudah lama bermula ataupun yang baru berputik. Semakin banyak jalinan persahabatan yang dijalinkan, semakin minda saya terbuka. Saya dapat melihat perkara-perkara yang kabur sebelum ini dengan jelas.

Hari ini adalah hari terakhir sahabat saya, Lisa di sekolah. Dia akan melanjutkan pelajarannya ke Yaman pada bulan hadapan. Kami mengadakan satu surprise party untuknya. Dia begitu terharu dan mengalirkan air mata. Walaupun dia tidak mengucapkannya, namun saya tahu dia amat menghargai apa yang kami lakukan. Ada juga rakan-rakan lain yang turut mengalirkan air mata. Yalah, kami bukannya baru kenal. Sudah 4 tahun lamanya. Terlalu banyak yang dikongsi bersama. Susah senang. Pahit manis. Semua itu WAJIB diambil kira.

Lisa seorang yang unik. Dia senang digauli dan peramah. Sesiapa saja yang mengenalinya tidak akan berasa kekok. Dia berada di mana-mana saja kita memerlukannya. Dialah yang mengajar saya apa itu persahabatan.

Persahabatan ialah satu ikatan anatara dua insan dan lebih kerana Allah.
Persahabatan bukanlah mengenai siapa yang bersalah tetapi mengenai memaafkan.
Persahabatan bukanlah mengenai mengumpat/bergosip tetapi mengenai menasihati dan membimbing.
Persahabatan bukanlah untuk bergaduh/berkelahi tetapi mengenai mengenali dan memahami.
Persahabatan bukanlah untuk membenci tetapi menyukai.
Persabahatan bukanlah untuk menolak tetapi menerima.
Persahabatan itu bukanlah satu bencana tetapi satu nikmat.

Ramai antara kita yang masih "melihat" menggunakan mata kasar dan bukan menggunakan mata hari termasuk saya. Namun beberapa hari kebelakangan ini saya belajar dan memahami mata kasar kita hanya dapat melihat apa yang berada di luar dan bukannya di dalam. Oleh itu kita juga harus melihat semua perkara melalui mata hati untuk melihat apa sebenarnya yang berada di dalam sesuatu benda itu. Hal ini amat penting dalam meniti sebuah persabahatan.

Marilah kita bersama-sama menukar pandangan dan tanggapan kita bukan sahaja dalam bersahabat tetapi dalam semua perkara.

adios,
eyman.

ingat 5 perkara sebelum 5 perkara:

#1:muda sebelum tua
#2:sihat sebelum sakit
#3:kaya sebelum miskin
#4:lapang sebelum sempit
#5:hidup sebelum mati