1001cerita:Suka+Duka

Sunday, March 26
Assalamualaikum,

Sepanjang minggu lepas, jadual saya teramatlah padat tetapi tidaklah ketat. Seperti biasa, tuisyen+kerja rumah yang menggunung masih menjadi agenda utama dalam kotak pemikiran saya. Walaupun pelbagai perkara menanti saya, saya tetap dapat menyumbangkan tenaga kepada rumah sukan saya: Al-Fatah untuk merebut tempat pertama di dalam acara bola tampar. Sememangnya laluan kami agak sukar. Tahun lepas, kami gagal mendapat pingat dalam acara tersebut. Tahun ini, kami kembali dengan semangat baru-untuk memburu pingat emas.

Pusingan pertama menyaksikan Al-Fatah bertemu Al-Solah yang merupakan musuh tradisi. Laluan kami mudah. Kami memenangi perlawanan tersebut(2-0). Kegembiraan tidak terkira kerana tempat kedua atau tempat pertama sudah dalam genggaman. Pada hari Jumaat, pasukan kami bertemu pula dengan An-Najah(boleh dikatakan juara bertahan). Seperti yang dijangka, amat susah kami hendak menundukkan pasukan tersebut. Kami tewas 0-2 dengan An-Najah. Pingat perak menjadi milik kami. Alhamdullillah. Saya menutup tirai sukan saya di Al-Amin dengan pingat perak. Sesuatu yang akan menjadi kebanggaan saya sampai bila-bila.

Semalam pula, saya dan keluarga pergi ke Pesta Buku Antarabangsa yang berlansung di PWTC. Pada mulanya, saya merancang hendak pergi bersama rakan-rakan tetapi terpaksa dibatalkan kerana abah dan umi pun hendak ke sana. Jadi saya mengambil keputusan untuk berjumpa mereka di sana.

Kami bertolak pada pukul 11.25 pagi. Seperti yang diketahui, keadaan di sana amatlah sesak, ditambah pula dengan pameran direct selling yang turut berlansung di PWTC. Sesudah sampai saya terus menuju ke booth Karangkraf untuk mendapatkan koleksi Dewan Masyarakat sepanjang tahun lepas. Sayang sekali apabila D.M bulan November dan Disember sahaja yang dicetak semula. Selepas itu saya menuju ke booth Dawama dan membeli Majalah Tunas Cipta dan sebuah karya A.Samad Said:Lantai T.Pinkie. Akhir sekali saya ke booth Sasbadi dan Cerdik untuk membeli buku-buku latihan SPM.

Pelbagai aksi dan ragam manusia yang saya temui di sana. Seseorang yang paling saya tidak sangkakan untuk terjumpa ialah Salim Soccastar. Seperti biasa penulis-penulis novel Alaf 21 akan menghiasi booth Alaf 21 dan para artis di booth karangkraf. Keadaan di booth karangkraf amatlah sesak dengan kehadiran mereka. Maka peminat-peminat pun bergegas ke sana ke mari untuk bertemu dengan penulis kesayangan dan artis kesayangan mereka. Ya. saya juga seperti mereka satu masa dulu. Terasa amat bangga apabila dapat bersua muka dengan penulis novel kegemaran saya. Mulalah bertanya di mana beliau mendapat idea untuk menghasilkan novel yang begitu menyentuh hati/romantik/dan lain-lain. Semua itu DULU. Selepas menyertai MPR, saya seperti takut untuk membaca novel-novel itu lagi. Mungkin takut dilabel gersang oleh Faisal Tehrani. Mungkin.

Apa yang sebenarnya ialah, bukan saya tidak membaca novel-novel cinta lagi, cuma kurang selepas saya menyedari bahawa sesuatu karya yang baik untuk di baca bukanlah diukur dengan kehadiran watak heronya yang kacak+baik ataupun heroinnya cantik+naif, tetapi sesuatu karya yang baik dan memberi impak yang amat besar ialah sebuah karya yang menyentuh tentang pemikiran manusia tentang pelbagai perkara. Kehidupan realiti manusia dan bagaimana untuk mengatasi kemelut yang melanda. Kini, saya begitu tertarik dengan novel-novel hasil nukilan penulis seperti Faisal Tehrani. Pemikiran yang matang dan serius ditonjolkan dalam karya-karya beliau telah mengajak saya untuk berfikir dan menganalisis setiap perkara yang berlaku di sekeliling saya. Boleh dikatakan novel beliau, KOMBAT: 1511H banyak mempengaruhi hidup saya sekarang. Gaya penulisan beliau memang first class!

Menulis memang satu perkara yang amat menyeronokkan di mana kita menulis sesuatu dan akan dinilai oleh masyarakat pembaca. Bagi saya, saya hanya akan menulis apabila mendapat satu isu yang memang saya rasakan amat perlu dinilai dan dianalisis. Oleh sebab itu, saya jarang menulis kerana saya mahu karya saya juga mencapai tahap first class. Bagi sesetengah penulis, mereka mudah mendapatkan isu yang baik. Sekali jari dipetik, sepuluh isu boleh dibawakan. Terus terang saya katakan, saya bukan begitu. Kadang kala saya agak lumpy untuk memahami sesetengah perkara dan agak perlahan untuk menyuarakannya sebagai satu tulisan untuk tatapan semua. Saya akui saya takut dikritik. Amat takut. - salah satu faktor kenapa saya kurang menulis. Hehehehe. (bukan kerana malas) Saya akan cuba atasi masalah ini. :)

InsyaAllah saya akan cuba membaiki sikap takut dikritik dan akan terus menulis.

Projek tertangguh:

1.Gerak gempur -Drama
2.Biladur Nur (tajuk sementara) -Cerpen
3. Zaidi(tajuk sementara) -Cerpen
4. Tangisan Empayar Habsburg -Cerpen

.::.iman.::.
Hari esok akan lebih baik dari hari ini.

2 comments:

Anonymous said...

BELAJAR 3 JAM SEHARI JGN LUPA!!!!!!!!!!!!

Anonymous said...

BELAJAR 3 JAM SEHARI JGN LUPA!!!!!!!!!!!!