Cuti Sekolah

Saturday, August 27
Yeeha!

Bagi saya, tamat sudah cuti sekolah apabila kami sekeluarga menjejakkan kaki semula ke Kuala Lumpur. 4 hari di Kelantan sudah memuaskan hati saya. Kepulangan ini sudah dinanti-nanti oleh semua kaum kerabat Hjh. Fatimah Hassan. Kami tidak sabar untuk melihat rumah barunya yang telah pun siap dibina di Pengkalan Chepa. [Betul-betul di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra].

23 Ogos 2005.

Kami bertolak dari Tmn. Keramat selepas selesai menunaikan solat Subuh. Lebih kurang pada jam 6.30 pagi. Kali ini, kami pulang ke Kelantan mengikut Lebuhraya Pantai Timur. Tidak tahu mengapa saya tidak boleh melelapkan mata. Selepas 2 jam barulah saya boleh melelapkan mata dan hanyut dalam mimpi di siang hari.

Kami berhenti makan di Pantai Kemasik[Terengganu], lebih kurang jam 10 pagi. Buat pertama kali saya melihat pantai yang jernih secara live. Saya dan Acid berlumba-lumba menangkap gambar. Kami meneruskan perjalanan selepas selesai makan. Kami asyik berhenti di tepi jalan untuk mengambil gambar kilang-kilang milik Petronas[di Kerteh]. Rupa-rupanya ilmu saya memang cetek. Saya hanya menyangka hanya ada pelantar minyak Petronas 300 km dari pantai Terengganu, tetapi di sana ada petempatan warga Petronas, Sekolah Rantau Petronas, Kilang penapis minyak, dan banyak lagi kilang-kilang yang saya sudah lupa namanya. Jika ada rezeki, ingin sekali saya menjadi 'ahli keluarga' Petronas suatu hari nanti.

Kami meneruskan perjalanan. Kami tidak melelapkan mata seperti biasa kerana terlalu banyak perkara yang menarik sepanjang perjalanan. Macam-macam ada. Kami juga sempat singgah di Masjid terapung di Kuala Terengganu dan membeli keropok lekor di Teluk Ibai. Memang 'best' perjalanan kali ini. Lebih kurang jam 4.45 petang, kami selamat tiba di Mek's new house - Taman Seri, Pengkalan Chepa.
Rumah baru mek memang cantik. Saya berbisik kepada abah,
'rumah kita pun tak lawa macam rumah mek ni'.

Sewaktu kami tiba, Che su dan Ayah Su telah pun sampai lebih awal. Begitu juga dengan sepupu saya, Amad. Tidak lama selepas itu, Mami dan Ayah Long juga tiba. Memang meriah rumah mek apabila anak-anaknya dapat bermalam di rumahnya.

24 Ogos 2005

Saya bangun dari tidur lebih kurang pukul 6.20 pagi. Lebih kurang jam 7.00 pagi, saya, abah, umi dan Aqila pergi ke Cabang Tiga, Pengkalan Chepa untuk membeli sarapan. Ayah Long juga pergi ke sana selepas mengambil Alang[anaknya] yang baru tiba dari Negeri Sembilan. Sesudah usai bersarapan, kami mulai bekerja kerana pada hari itu, kami mengadakan jamuan sempena rumah baru mek. Pada sebelah pagi, diadakan solat Hajat dan bacaan Yasin oleh kaum wanita dan pada sebelah malam- solat Hajat oleh kaum lelaki. Walaupun kali ini kami hanya menenpah makanan, kami tetap tidak cukup tangan.


Mak Cik Aini [saya menggelarnya PA mek saya] tiba awal pagi. Dialah yang menguruskan segala-galannya. Maklumlah Umi Yah[kakak abah] belum pulang dari Kuala Lumpur - melawat anak-anaknya . Dia tiba sekitar jam 9.00 pagi. 3 Abdul [Aman,Acid dan Amad] menjemputnya dan Ayah Li[suami Umi Yah] di airport.Tugas saya ialah
membasuh beras, diikuti membuat kerisik dan mengemas/membasuh pinggan/cawan. Selepas semua tugas saya selesai, saya, Achik[anak Ayah Long] bersantai di bilik mek. Kaki saya lenguh dan tangan Achik berdarah akibat tugas-tugas yang kami lakukan. Yalah, kami kan orang bandar! Kami mulai bercerita tentang kehidupan kami. Terasa juga hati saya apabila Achik membuka cerita tentang SBPI nya. Dia kelihatan begitu seronok di sana. Apa nak buat, rezeki manusia lain-lain.

Kami tidak menunaikan solat hajat mahupun membaca Yasin. Apa yang kami lakukan ialah - TIDUR! Memang penat hari itu. Sesudah puas melepaskan lelah, kami mandi dan menukar pakaian. Tugas kami pula ialah mengangkat pinggan/cawan, memastikan lauk cukup, air cukup dan lain-lain tugas. Kami di bantu 'remaja-remaja prihatin' - Ateh[adik Achik, Alin[anak mami], Sabiha[Anak Auntie], dan kakak[kakak Sabiha]. Saya suka mengusik mereka. Yalah, sedang mengelap pinggan pun masih boleh bergosip!

Sebelah malam pula, tugas kami tidak banyak. Kami hanya merehatkan diri kami yang sememangnya sudah penat. Lebih kurang jam 7.30 Along Hidayati [Anak sulung Ayah Long] tiba dari USM Kubang Kerian. Dia sudah masuk tahun keempat dalam jurusan perubatan. Masanya terhad.
Kasihan saya melihat dia berkejar ke sana, ke mari. Selepas selesai majlis, meeting kelab keluarga dijalankan. Apabila adik-beradik abah sudah berkumpul, pasti perut saya akan pecah dek jenaka mereka. Terbongkar habis kisah-kisah zaman dahulu kala. Kebelakangan ini agak sulit untuk melakukan Hari Keluarga kerana kekangan masa, namun, Hari Keluarga akan juga diusahakan.
Hidup keluarga Hjh. Fatimah!

25 Ogos 2005

Saya bangun pada jam 6.45 pagi dan menyambung tidur saya semula hingga jam 9.00 pagi. Semua warga rumah mek bangun lewat pada hari itu. Umi dan abah awal-awal lagi sudah ke Pasar Siti Khadijah. Manakala Ayah Long ke Terengganu. Saya, Aman, Acid, Amad dan Ateh pula ke KB Mall. Tidak saya sangka Kelantan mempunyai Mall yang setaraf dengan Megamall. Mengingatkan tentang KB Mall, pasti saya akan tersenyum sendirian. Kami sesat di tengah-tengah Kota Bahru lebih kurang satu jam. Puas kami pusing-pusing tetapi tidak ketemu KB Mall. Akhirnya kami menelefon Che Su. Kami bertolak ke Nipah, Bachok pula untuk menghadiri ke jamuan di rumah Mok Su Saudah[mak cik abah]. Makan Lagi! Ayam perciknya 'A' class! Kami bertandang pula ke rumah Mok Soh [ Kakak Mek]. Uzur benar Mok Soh. Kami sekeluarga risau melihatnya. Semoga dia cepat sembuh.

26 Ogos 2005


Kami pulang ke Kuala Lumpur mengikut jalan Cameron Highlands. Kami semapt singgah di Kasimanis Strawberry Farm di sana. Kami juga singgah di Sg. Choh dan pulang ke rumah selepas makan malam.




Cuti kali ini memang best. Bertambah best apabila ukhuwah antara
keluarga yang renggang dieratkan kembali. Hilai tawa kami bersama sukar saya lupakan. Tiada apa yang lebih bagus dari berjumpa sanak saudara, duduk bersama dan bertukar cerita kehidupan yang penuh dengan cabaran. Saya tidak sabar untuk pulang berhari raya pula. Pada masa itu, lebih ramai yang akan pulang. Syamimi, Zumi, Angah, Aiman, Aizat, Afnan, K. Ngah, K. Long, K. Wan dan lain-lain. Lebih meriah rumah mek nanti!

adios

eyman


Hari demi Hari/Double Personality?

Monday, August 15
Assalamualaikum,

Hari ini baru saya 'terperasan', post saya yang bertarikh 11/8, mempunyai tajuk yang sama dengan post ayah saya. Biasalah. Dah nama pun satu keluarga. Abah, sorrylah ye. Sehati sejiwa lah katakan.
Hari demi hari berlalu macam tu saje. Minggu ni adalah minggu pertama peperiksaan percubaan berjalan bagi pelajar T.3, manakala minggu kedua bagi pelajar T.5. Masa berlalu amat pantas. Saya sendiri tak dapat mengejarnya. Memang saya ni malas agaknya...

Kini, sudah masuk minggu kedua bulan Rejab. Tidak lama lagi Sya'ban dan disusuli Ramadhan. Tak sabar rasanya menanti Ramadhan yang mulia tiba. Perasaan syahdu yang sukar digambarkan.

Baru ini saya 'terfikir' tentang satu perkara yang telah lama membelenggu diri. Double personality. Kadang-kadang saya bertanya pada diri, "Adakah aku mempunyai dua personaliti?" Persoalan ini timbul tidak lama dulu. Pada satu ketika saya merasakan saya sudah berada di 'path' yang betul. Seperti yang termaktub di dalam Al-Quran. Surah Al-Fatihah: "Ihdinas Siratal Mustaqim". Namun, tiba-tiba saya merasakan saya sudah memilih 'path' yang salah dan saya mula menukar hala tuju saya. Perubahan ini membuatkan saya terpaksa berdepan dengan beberapa 'orang' tidak memahami apa dia "Siratal Mustaqim". Saya terpaksa 'berselindung'daripada mereka supaya saya tidak kehilangan 'orang-orang' yang penting bagi saya. Banyak helah yang saya lakukan supaya mereka masih setia bersama saya. Adakah saya seorang yang hipokrit?

Bila saya berfikir dengan lebih matang dan mendalam, sebenarnya, saya tidak perlu takut dengan mereka jika mereka ingin meninggalkan saya kerana ukhuwah yang terbina antara kami bukanlah ukhuwah Fillah tetapi untuk keseronokkan keduniaan semata-mata. Astgahfirullah! Zaman kini penuh dengan tipu daya. Kita tidak dapat menjangka hati budi seseorang. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Mungkin saya tidak perlu gusar untuk menghadapai cabaran mendatang kerana hidup ini tidak akan berwarna jika saya tidak mencalitkan warna-warna cabaran di atasnya. Bukan begitu? Kebijaksanaan telah diberi. Terpulanglah sama ada kita mahu menggunakan dengan berhikmah atau tidak.

Allah Maha Adil lagi Maha Penyayang. Tidak Dia beri semua cabaran kehidupan ini kepada hambaNYA melainkan mahu hambaNYA kembali kepada NYA. Allahuakbar. Itulah realiti. Hipokrit atau tidak bukan soalnya, namun, adakah kita berada di "Siratal Mustaqim" dan bertawakkal kepadaNYA? Saya bersyukur kerana saya telah disedarkan sebelum terlambat. Moga-moga 'orang-orang' yang belum sedar, kembali kepadaNYA secepat mungkin. Kita tidak tahu bilakah kematian tiba. Mungkin esok, mungkin 20 tahun akan datang. Soalannya telah lama diberi: "Ma Rabbuka". Adakah anda pasti anda sudah bersedia dengan jawapannya?

adios,
~eyman~
Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun

Jerebu oh Jerebu!

Thursday, August 11
Assalamualaikum.

Kemalasan mengusai diri. Tidak kira dalam apa bidang. Belajar. Menulis. Memperbaiki diri. Mengemas bilik. Nampaknya negara kita kini 'teruk' dilanda jerebu. Setiap hari saya akan berada di hadapan TV untuk melihat perkembangan terkini. Bukan melihat adakah jerebu bertambah elok, tetapi melihat adakah cuti akan diberikan. Hehehe.

Maka, dengan sukacitanya, semalam, Pn. Azizan mengisytiharkan bahawa SMIAAG akan bercuti selama 3 hari (Termasuk hari Sabtu yang dijadualkan akan bersekolah - mengganti cuti PMR pada bulan 10). Apa lagi, semua pelajar lelaki di dalam kelas kelihatan begitu ceria dan bahagia. Mereka juga telah merancang apa yang akan dilakukan semasa bercuti. Ada-ada saja...

Itu adalah dari kacamata pelajar sekolah. Begitu ceria, gembira, bahagia apabila kementerian memberi lampu hijau kepada pengetua dan guru besar untuk meluluskan cuti jika keadaaan jerebu bertambah buruk. Namun, kita tidak sedar bahawa jerebu kini telah mencapai tahap bahaya di sesetengah kawasan. Misalnya, hari ini Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor diisytiharkan darurat. IPU telah melebihi 500! Papok Meran (abang umi) yang bekerja di Pelabuhan Klang masih tidak pulang ke rumah selepas darurat diisytiharkan. Jenuh umi menelefonnya, menyuruh dia pulang sebelum keadaan semakin teruk. Katanya, majikannya masih belum hendak melepaskan mereka, manakala pejabat di sebelah sudah pun ditutup. Umi pula memberitahunya supaya memberitahu majikannya bahawa majikan-majikan yang tidak menjaga kesihatan para pekerja sesama keadaan berjerebu boleh dikenakan denda atau di penjara 2 tahun. Wan Azam (adik umi) pula merungut mengapa darurat tidak diisytiharkan di seluruh Selangor. Dia pun ingin bercuti. Saya juga kasihankan Wan. Tugasnya memerlukannya keluar dan berada dalam keadaan yang berjerebu. Susah kalau apa-apa yang terjadi kepadanya.

Dalam akhbar tempatan ada mengatakan, jerebu kali ini mengandungi bukan saja gas beracun tetapi magnesium yang berbahaya kepada rakyat jelata. Banyak-banyaklah kita berdoa kepada Yang Esa supaya keadaan ini tidak berlarutan.

Oleh kerana hari ini tidak ke sekolah, saya banyak menghabiskan masa surfing internet dan melihat berita terkini di TV. Saya pelik apabila IPU (Indeks Pencemaran Udara) antara beberapa stesen TV tidak seragam. Ada yang menunjukkan angka yang kurang dan ada yang lebih. Sepatutnya dalam kes-kes yang 'bahaya' seperti ini, pihak terbabit haruslah melaporkan berita yang tepat. Rakyat juga yang akan susah kelak kalau terjadi apa-apa.

Tidak perlulah kita saling menyalahi tetapi saya amat menyeru dan berharap agar situasi ini tidak berlanjutan. Yalah, kadang-kadang teringin juga hirup udara yang segar. Harap-harap kerajaan seberang dapat membantu negara kita menyelesaikan masalah yang kita hadapi- sememangnya berpunca dari sana.

Tadi, kami sekeluarga pergi menghantar Aman ke Titian Cahaya di Melawati. Selepas itu kami meronda-ronda di KL. KLCC sudah tidak kelihatan dari flightover di Jelatek. Keadaan di Jalan Ampang tidak semeriah seperti biasa. Rata-rata pejalan kaki, penunggang motosikal memakai penutup hidung bagi mengelakkan masalah pernafasan. Adik-adik yang lain pula sibuk memakai topeng itu di dalam kereta.

Sememangnya jerebu ini merupakan satu peristiwa yang saya akan kenang dalam hidup saya. Memang satu perkara yang 'besar' dan menggemparkan. Walaubagaimanapun, jangan kita lupa, mungkin ini petunjuk dari Allah supaya kita kembali ke jalan yang benar. Marilah kita bersama-sama menginsafi diri dan bertaubat sebelum terlambat. Masa tidak menunggu kita tetapi kita harus mengejarnya....

adios,
~eyman~

118

Monday, August 1
On day way balik ke rumah dari sekolah, umi beritahu: laporan debat UIAM dah keluar. Sampai saja di rumah, saya terus bukak laman web debat UIAM. Tidak disangka, my rank is 118 over 244 participants.[1278 pts] Well, it's a good beggining for me. Next year, my target- top 50!

Hari ni biasa saja. Pada sebelah pagi ada PJK dan pada sebelah petang ada EST. Jadi untuk memenuhi ruang yang ada, saya sertakan sajak yang ditulis selepas bergelar mantan MPR.

DESAHAN ALAM


Tercalar mentari,
bergegar cakerawala,
terpisah roh dan jasad,
tidak terbela.

Renangilah laut janggawari,
dari daksina ke paksina,
dakilah pasak bumi,
tinggi tidak terperi,
redahlah ranjau dan duri,

menikam jasad insani.

Pasti,
tiada lagi,
guyuran permata seni,
titisan merah menyembah bumi,
jeritan keamanan bergaung
menujah telinga.

adios,
eyman