Bila pena mula menari II

Wednesday, April 25
Assalamualaikum,

Bermula sekali lagi.

Menjadi pembaca yang tekun dan teliti. Mengambil apa yang baik dari penulisan seseorang. Begitulah bagaimana saya bermula. Sebelum saya terpanggil untuk bersuara. Kiranya, karya-karya Fahd Razy banyak membantu. Membaca karya-karya beliau buat saya terfikir, bolehkah aku menjadi seperti dia? Menulis seperti dia? Dalam keluarga besar kami, beliau adalah antara mereka yang berjaya. Bersekolah di Sekolah Alam Shah, berjaya di dalam SPM, dan kini, bakal menjadi seorang doktor.Paling penting, boleh menulis dengan baik (asyik menang sana, menang sini, tersiar sana, tersiar sini). Beliaulah yang selalu dijadikan contoh oleh kami-adik-adik sepupu yang baru nak merangkak, melihat dunia baru.(macam terlebih puji Amad je ni.Hehehe)

Kini, saya bermula sekali lagi. Setahun sudah berlalu. Pembaca yang tekun dan teliti.
Perjalanan saya kali ini saya mulakan dengan Kekasih Sam Po Bo-Faisal Tehrani. Sudah lama tidak mencerna karya Faisal Tehrani. Kali terakhir saya membaca karya beliau pada tahun lepas. Abah membelikan saya Tunggu Teduh Dulu. Namun, syarat dari umi: Lepas trial baru boleh baca. Sekitar bulan September agaknya.


Berbalik semula kepada perjalanan saya. Karya Faisal Tehrani memang tidak mengecewakan. Kali pertama saya mengenali beliau dan karyanya ialah pada MPR 2005. Malu rasanya apabila semua orang mengenali beliau, dan saya tidak. Aduh. Malu rasanya apabila rata-rata orang sudah membaca Kombat:1511H, saya belum. (Macammana boleh tak perasan? Sedangkan dalam Antologi Anak Laut-Ting. 4 pun ada karya beliau) Aduh.

Satu persoalan berlegar-legar di ruang legar fikiran saya: Penulis=aku?
Faisal Tehrani barulah layak digelar penulis. Saya?
Setiap karya beliau, paling tidak akan membawakan mesej-mesej yang berguna yang menjana saraf di otak untuk mencetuskan impuls-impuls bagi membolehkan kita berfikir. Karya saya? Aduh.

Aku belum layak di gelar penulis. Gelarlah aku blogger aje. Belum sehingga aku menghasilkan karya yang hebat.

Namun, jika direnung-difikir-ditenung kembali, 11 tahun di Al-Amin sepatutnya sudah cukup menjadi bekalan jika saya ingin menulis sesuatu yang hebat. Murid-murid Al-Amin yang semuanya hampir 500 orang cukup untuk saya jadikan watak-watak di dalam penulisan saya.(Belum campur dengan guru-guru, kerani, dan mak cik kantin. Hehe. Kecilnya Al-Amin).

Saya tidak akan menyepi lagi. Ada misi yang perlu dilaksana. Ada impian yang perlu dicapai. Saya sudah membeli sebuah tapak dalam dunia penulisan. Tiang rumah juga sudah saya dirikan. Kalau hari hujan, di mana saya hendak berteduh? Apa kata orang-orang kampung nanti? Saya akan siapkan rumah saya sebelum musim tengkujuh menyapa. InsyaAllah.

Pencapaian?

Haha. Tergelak seketika. Tergelak lagi. Kini, ketawa pula.

1. 'Kaca Mata Dina' - Tempat pertama, Pertandingan Menulis Cerita Pendek (Kategori I: 13-15 THN) Peringkat Nasional I anjuran DBP - 2005
2. 'Bingkisan Yusra', 'Komuniti Bas', 'Meniti Harapan' - Saguhati, Pertandingan Menulis Cerpen Sempena Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni anjuran KeKKWa - 2005
3. 'Kasih Siapa' - Dewan Siswa edisi Januari 2006

Layakkah saya digelar penulis? Bagi saya, belum. Kata anda?

eymanD.

Sedang membaca:
*Kekasih Sam Po Bo: Faisal Tehrani
*Sweetness in The Belly-Camilla Gibb
*Ayat-Ayat Cinta- Habiburahman El-Shirazy

Projek tertangguh sejak 2005/2006:
*Gerak Gempur
*Zaidi(tajuk sementara)
*Tangisan Empayar Habsburgs
*Elegi Tiya
*Muaz, Zaed, Amru (tajuk sementara)







Hari demi Hari/ Double Personality III

Tuesday, April 24
Assalamualaikum,

Baru saja pulang dari program RELAX '07 anjuran bersama JIM dan Dejourney. Program tiga hari yang amat memenatkan. Biarlah gambar yang berbicara.

*****

"Moga-moga 'orang-orang' yang belum sedar, kembali kepadaNYA secepat mungkin. Kita tidak tahu bilakah kematian tiba. Mungkin esok, mungkin 20 tahun akan datang. Soalannya telah lama diberi: "Ma Rabbuka". Adakah anda pasti anda sudah bersedia dengan jawapannya?" - 15 Ogos 2005

Jika anda semua masih ingat, saya pernah menyuarakan ketidakpuasan hati saya terhadap segelintir 'rakan' di bawah tajuk yang sama tidak lama dulu ( part I dan part II) serta di dalam post yang bertajuk: ALLAHUAKBAR! ALLAH MAHA BESAR!

Jika anda masih ingat lagi, saya juga memohon agar mereka-mereka ini diberi petunjuk dan hidayah agar sentiasa berada di bawah lindunganNYA. Mungkin, pintu-pintu doa terbuka di kala itu. Alhamdulillah, mereka sudah menjadi orang yang baru. Kagum sungguh saya dengan mereka. Insan-insan yang telah memilih jalan yang lebih tenang dan menguntungkan. Jalan untuk berubah. Saya sendiri berani bertanya kepada mereka(kata umi: Mengapa bertanya? kata saya: saja je): mengapa jadi begini? Bukankah dulu begitu?

Mereka menjawab : Dalam hidup ni, ada paradigm shift. Ada banyak lagi turning point lepas ni.

Jawapan yang membuat hati saya luruh sama sekali.

Akhirnya, setelah setahun (lebih kurang), mereka berjaya membuat perhitungan dengan diri sendiri. Bukankah hanya jauhari mengenal manikam?

Saya hanya mampu mendoakan agar mereka sentiasa berada di atas trek yang betul. Tidak tersasar dan berpatah balik, juga tidak melencong ke mana-mana. Ya, kita tidak boleh mengadili seseorang itu begitu saja. Mungkin pada pandangan kita, dia begitu, tetapi sebenarnya dia begini.


"Malas rasanya hendak mengulas perkara-perkara sebegini, namun buat pengajaran untuk semua, marilah kita bersama-sama menghitung diri dengan ikhlas kerana Allah. Moga-moga diberi petunjuk dan hidayahnya."- 6 September 2005

Entah mengapa saya berasa teramat kagum dan bangga dengan diri mereka. Terharu sungguh. Apabila saya membaca post-post sebelum ini (PI+PII), saya hanya mampu memanjatkat kesyukuran kepada yang Esa. Dialah yang membantu rakan-rakan saya ini dan membenarkan mereka menjadi muslim yang sejati. Memberi mereka semangat dan peluang untuk bermula sekali lagi. Menyuntik sinar-sinar hidayah dalam hati mereka. Semoga semuanya akan kekal begini.Mungkin akan menjadi lebih baik pada masa akan datang. InsyaAllah.

"Maafkanlah jika saya terlalu beremosi. Saya hanya mahu mengingatkan kepada barangsiapa yang sudah terlupa. Moga-moga anda semua mendoakan saya berjaya membantu orang-orang tersebut untuk berfikir sejenak tentang betapa kerdil dan hinanya kita di sisi Allah." - 8 September 2005
***
Seseorang itu tidak akan berubah serta-merta melainkan dirinya sendiri yang mendambakan perubahan.
eymanD.

Bila pena mula menari...

Thursday, April 19
Assalamualaikum,

Sudah terlalu lama saya menyepi. Menyepi tanpa pena menari dicelah-celah jemari comel saya. Hari ini(Rabu) saya dipanggil untuk mengisi aktiviti Kelab Pidato dan Penerbitan Karya(KPPK). An informal talk. Sememangnya saya sudah biasa dengan 'adik-adik' junior. (Lebih-lebih lagi, 3 orang adik saya adalah ahli KPPK).

Bagi saya, saya bukan penulis yang baik. Penulis yang bermusim, kata umi.

Saya hanya menceritakan bagaimana saya mula menarikan pena di jemari. Bagaimana saya mendapat ilham dan bagaimana untuk memulakan langkah yang pertama. Saya harap mereka faham dengan cerita saya dan akan memulakan langkah pertama ke dunia penulisan.

*********

Setiap kali saya menulis, saya ingin menulis sesuatu yang hebat. Karya yang dapat membuat pembaca beremosi. Sama ada emosi yang positif ataupun negatif. Karya yang dapat membuat akal berfikir. Kadang-kadang saya suka meletakkan J.K Rowling sebagai satu teladan. Sebelum menjadi jutawan, beliau bukanlah sesiapa. Seorang ibu tunggal yang tidak bekerja. Namun, roda-roda di akalnya ligat berputar mencari idea-idea bagi menghasilkan sesuatu yang hebat. Mungkin siri Harry Potter agak superstitious, namun tidak hairanlah kerana penulisnya seorang Kristian.

Apa yang saya boleh simpulkan daripada kisah beliau, walau apapun yang terlintas difikiran, jangan pendamkan. Ambil kertas dan catat. Siapa tahu, anda akan menjadi jutawan suatu hari nanti. Hehe.

Seperti yang telah diajarkan kepada saya, dunia penulisan diceburi bukan untuk mengaut keuntungan, tetapi untuk mengajar anak-anak bangsa supaya mereka boleh menjadi insan-insan yang tidak merugikan di masa hadapan.

Saya mempunyai satu impian. (Impian dalam kategori penulisan):

I want to educate my people through my writings.

Dunia penulisan adalah platform yang paling baik untuk mengaut pahala. Setiap apa yang ditulis, akan dibaca dari zaman ke zaman. Jika si pembaca mendapat manfaat darinya, InsyaAllah, si penulis juga akan memperolehi 'syer' dari Allah. Saya ingin menjadi penulis jenis itu.

Saya belum mencapai tahap pre-professional seperti rakan-rakan penulis yang lain(terutama rakan-rakan mantan MPR 2005). Mereka masih terus berkarya. Contohnya, Azree(mantan MPR 2005, pelajar undang-undang UIAM). Puisinys kerap tersiar di Dewan Siswa. Begitu juga dengan Kak Nas.(Juga pelajar undang-undang AIKOL, UIAM). Saya agak, hanya mereka berdua yang aktif menulis.(merujuk kepada genre puisi dan cerpen). Moga-moga mereka akan terus maju-tidak lokek berkongsi idea-idea kreatif dengan para pembaca.


Jika diberi kesempatan masa dan ketenangan jiwa, saya akan kembali memegang pena. Menulis adalah suatu proses yang indah dan saya ingin menikmati keindahannya sekali lagi.

eymanD.

Islam pernah menguasai dunia penulisan.Andalusia menjadi bukti kemegahan dan keagungan karya-karya ilmuan dan sasterawan Islam. Hasil-hasil penulisan sasterawan dan ilmuan Islam inilah yang dicedok Barat dan akhirnya menjadikan mereka kuasa yang kuat. Sudah tiba masanya, kita kembali bangkit dan berjuang melalui pena kerana sejarah pernah membuktikan, lidah dan mata pena lebih tajam dari pedang pejuang di medan perang.

Adakah kamu juga bingung?

Wednesday, April 18
Assalamualaikum,

Bingung. Bingung. Bingung.

Apa itu bingung? (Menurut firasat hati, pemikiran spontan, dan tafsiran akal Nuruliman)

Suatu situasi di mana anda tidak dapat berfikir secara waras dan merasakan semua pilihan yang ada adalah pilihan yang perlu dipilih. Sedangkan kamu hanya boleh/diminta memilih satu pilihan yang paling meyakinkan dan menguntungkan.

Nampaknya saya memang tidak layak untuk menjadi pengundi berdaftar SPR. Semua undi saya akan rosak...

Saya berada dalam satu situasi di mana saya mempunyai konflik dengan sendiri. Saya gagal untuk memahami kehendak diri dan kemampuan diri.

Apa yang saya mahu?

Saya pun agak kabur tentang perkara itu. Jika diikutkan hati sanubari diri, saya hendak menjadi seorang yang terkenal dan dibanggakan. Adakah hati saya terlalu tamak dan bongkak?

Bagi saya tidak, insan yang mempunyai cita-cita untuk berjaya dan menjadi kebanggagan adalah insan yang sanggup menghadapi cabaran dan mengambil risiko demi mencapai matlamatnya. Bukan tamak atau bongkak. Si tamak dan si bongkak ialah mereka yang tidak pernah mencuba dan berusaha untuk menaikkan taraf diri dari satu level ke level yang lebih tinggi.

Jadi, mengapa saya bingung sedangkan saya berprinsip begitu?
Sahutlah cabaran, terimalah risiko!
Realitinya, kata-kata lebih senang diucap. Nak buat punyalah susah.
Aduh! Pening bangat deh kepala gue. Pikiran gue ini, suda sarat bangat...

Adakah saya rasa inferior terhadap diri sendiri?

Mungkin juga. Takut dengan kebolehan diri sendiri dan asyik memikirkan apa yang akan diperkatakan oleh orang lain. Tapi, bukankah kata-kata orang itu perlu bagi membina diri? Mungkin, saya terlebih berfikir dan banyak memberikan alasan. Namun, saya cuma hendakkan jaminan. Adakah saya boleh berjaya di atas jalan yang mungkin boleh memusnahkan mental+emosi saya?

Sahutlah cabaran, terimalah risiko!

Mungkin benar kata Izzah, Kita asyik mengucapkan; "Why me?" Sedangkan di luar sana terlalu ramai orang mengucapkan; "Why not me?"

Walauapapun, saya perlukan doa dan sokongan kalian dalam memilih yang terbaik. Terbaik dari semua aspek. Dapat memberi kebaikan dan keuntungan serta tidak melibatkan perkara-perkara yang boleh membunuh iman dan taqwa.

Jika selepas anda membaca post ini, fikiran anda bercelaru;

Tahniah! Anda juga bingung!

eymanD.

p/s: Doakan saya dalam memilih yang terbaik buat hidup saya. Pilihan yang tidak akan meletakkan saya di zon bahaya iaitu zon penghakisan iman dan pelupusan taqwa. Saya berharap dapat berada di jalan yang diredhai dan diberkati. Semoga Allah memberi apa yang terbaik buat saya dan mengurniakan kepada saya mereka-mereka yang memahami matlamat hidup seorang muslim sepenuhnya ...

April

Tuesday, April 17
Assalamualaikum,

a)6th IIUM Interschool Debate

*enough is enough.(at last, they met *budak koleq*)

b)RELAX

*20-22 April 2007
*Dejourney + JIM

Penasihat: Bro. Wan Am
Pengarah: Muaz Shahrom
Timb. Pengarah: Fatimah Mohammad
Setiausaha: Nuruliman Dashuki

Bendahari: Ammar Kamar


Biro:
Penginapan dan Keselamatan: Syed Mohammad, Muneera
Teknikal dan Publisiti: Syazana, Aiman, Fatimah
Pendaftaran dan Logistik: Asma, Ihsan dan Ammar
Makanan dan Cenderahati: Iman, Atiqah, Amin

Pengangkutan dan Tugas2 Khas: Muaz, Khairiyah


Program RELAX diadakan dengan tujuan untuk memberi pendedahan kepada warga Dejourney tentang cabaran-cabaran yang bakal dihadapi semasa berada di IPT. Adalah diharapkan program ini bakal mencapai objektifnya dan berjalan dengan lancar. Warga Dejourney, jumpa kamu 20 April ini!





Interview 1

Tuesday, April 3
Assalamualaikum,

My first ever interview!

Berdebar-debar juga apabila mendapat panggilan interview daripada JPA. Terlalu banyak persoalan bermain-main di minda. Pakaian yang sesuai, tatacara yang sopan, jawapan yang berkeyakinan, dan yang semestinya pantang larang interview.

Mungkin bagi mereka yang merupakan bekas murid sekolah berasrama penuh, interview adalah perkara biasa. Sebahagian besar daripada mereka telah melalui proses temuduga berkali-kali, lebih-lebih lagi, murid-murid yang mendapat keputusan yang cemerlang semasa Trial SPM. Temuduga sudah menjadi perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan.

Berlainan dengan kami, murid-murid sekolah swasta Islam yang sememangnya kurang pendedahan terhadap 'perkara-perkara' sebegini. Kami sudah biasa dianak-tirikan.
Sejak dari Darjah Satu kami dididik dengan tatacara dan adab sopan Islam yang sebenar. Batas-batas pergaulan juga selalu ditekankan oleh ustaz dan ustazah; membuatkan kami kadang kala kurang senang bekerja dengan lelaki. Akibatnya, kami membesar sebagai seorang yang pemalu dan kurang berkeyakinan. Mungkin juga disebabkan kami tidak mempunyai banyak aktiviti luaran yang melibatkan sekolah-sekolah lain seperti sekolah-sekolah kerajaan.

Keyakinan diri bagi murid-murid Al-Amin adalah sesuatu yang perlu dipupuk sendiri. Namun, hakikatnya, apabila melangkah keluar dari 'tempurung Al-Amin', serta-merta kami mampu berdiri sendiri. Mungkin kerana ingin memberitahu dunia bahawa jangan pandang rendah pada kami. Sehinggakan senakal-nakal dan sejahat-jahat murid Al-Amin, akhirnya akan menjadi pimpinan pelajar di Universiti.

Kami sememangnya bangga menyebut nama Al-Amin. Kami ingin sekali dikenali dan kami juga sudah buktikannya. Tahun lepas kami menyertai Debat Piala UIAM yang disertai oleh sekolah-sekolah yang bertaraf sekolah kluster(kini). Bagi mereka, beraksi di gelanggang UIAM merupakan pusingan memanaskan badan sebelum menyertai Piala Perdana Menteri(kalau tidak silap). Kalau kalah pun tidak apa. Mungkin mereka berfikir begitu.

Kami pula amat teruja apabila dapat menyertai pertandingan yang bertaraf peringkat kebangsaan. (Nak masuk MSSD pun susah, peringkat daerah Gombak je tu). Kami inginkan yang terbaik, tetapi kami tidak lupa diri. Kami sedar siapa kami-anak tiri, bukan anak kandung. Semua itu tidak menghalang kami untuk melakukan yang terbaik dan membuktikan bahawa Al-Amin boleh!

Doalah yang menjadi teman kami sepanjang masa. Mungkin mereka memandang kami sebagai wierdo, tetapi itulah kekuatan dan bekalan kami sepanjang pertandingan. Hari pertama kami lalui dengan agak tertekan namun, alhamdulillah kami menang 2 dari 3 perlawanan. Keesokkan harinya, sekali lagi berbekalkan restu seluruh warga Al-Amin dan doa kepada yang Maha Berkuasa, kami sekali lagi melangkah untuk berjuang. Lawan pertama kami pada hari itu ialah Sekolah Seri Puteri. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa bangganya kami dapat bertemu SSP. Salah sebuah sekolah yang terkenal dan popular di Malaysia. Kata kami, kalau kalah pun tidak apa. Sekurang-kurangnya, kami dengan bangga mengatakann, 'kami kalah dengan SSP'.

Keputusannya: kami mengalahkan SSP! Satu dewan gempar. Siapa Al-Amin? Kalahkan SSP! Semua itu kuasaNYA. Keajaiban dan kejayaan itu milikNYA. Satu persatu sekolah SBP kami sungkurkan. Akhirnya kami berjalan dengan rasa bangga membawa nama Al-Amin ke Semi-final, dan akhirnya perjuangan kami terhenti di situ.Ada hikmah disebalik semua itu...

Satu pembuktian yang berbekas di jiwa. Siapa kata Al-Amin tidak boleh? Kini, tiada siapa yang boleh persoalkan kebolehan kami. Mungkin kami masih perlu berjalan jauh untuk setanding dengan sekolah-sekolah kluster, namun kami telah mengorak langkah pertama dan tidak akan menoleh ke belakang lagi. Kata-kata(lebih kurang begitu) yang diucapkan oleh Ustaz Isharuddin kepada saya ketika bertemu SAINA buat kali kedua di perlawanan suku-akhir;

"Umat Islam yang betul-betul beriman dan bertaqwa tidak akan akan kalah kepada pihak yang sama dua kali"

Kata-kata yang tidak akan saya lupakan dan akan sentiasa menjadi pembakar semangat ketika saya menghadapai masalah. Terima kasih Ustaz!

Nampaknya sudah jauh saya tersasar. Hehehe. Berbalik kepada tajuk hari ini.

Umi memesan; pergilah dengan bangga sambil mengatakan, saya murid Al-Amin.

Alhamdulillah, temuduga saya berjalan dengan lancar. Tiba di Putrajaya International Convention Centre pada jam 9:40 pagi. Selepas mendaftar, saya dikehendaki menduduki peperiksaan bertulis(attitude test). Lebih kurang 200 soalan perlu dijawab dalam masa 30 minit.

Selepas itu, saya menunggu untuk ditemuduga. Sekali lagi saya bersyukur kerana, bekas rakan sekolah saya(pindah ke sekolah lain semasa F2) , Huda, satu kumpulan dengan saya. Ahli kumpulan saya semuanya perempuan, 7 orang semuanya (termasuk saya). Semuanya dari sekolah berasrama penuh kecuali saya dan Hidayah(sekolah harian di Bangi). Semuanya memohon jurusan perubatan kecuali saya(kejuruteraan). Semuanya bersekolah di sekolah kerajaan kecuali saya...

Semuanya berjalan lancar bagi saya kerana kami ditemuduga dalam Bahasa Melayu. Hanya sesi memperkenalkan diri saja memerlukan kami berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Saya selamat tiba dirumah jam 2:15 petang.

Kini, saya tidak sabar untuk dipanggil ditemuduga lagi. Seronok rupanya. Pergi dengan membawa imej Al-Amin. Moga-moga ada pihak yang akan memanggil saya untuk ditemuduga lagi. Amin...

eymanD.

'Ya Allah, Tuhan kami yang Maha Pemurah dan Penyayang. Bantulah kami, berilah kami kekuatan untuk menempuhi hari-hari yang mendatang, dan tetapkanlah hati kami di jalan-jalan orang-orang soleh, serta masukkanlah kami ke syurga firdausMU. Sesungguhnya Kaulah Tuhan yang Maha Mengasihi dan Maha memberi petunjuk. Amin.'