Bapa Kimia Dunia: Jabir Ibn Hayyan

Thursday, October 13
JABIR IBN HAYYAN

Jabir Ibn Hayyan ataupun nama sebenarnya Abu Musa Jabir Ibn Hayyan telah
melakar sejarah dalam bidang kimia dunia. Beliau telah digelar sebagai Bapa Kimia Dunia. Beliau telah menempatkan diri beliau sebaris dengan para ilmuan Islam yang terkemuka sejak beliau mengamalkan bidang perubatan dan bidang kimia di Kufah sekitar tahun 776 Masihi. Pada peringkat awal kerjaya Abu Musa Jabir Ibn Hayyan, beliau pernah berguru dengan Bermaki Vizier, semasa zaman Khalifah Abbasiah pimpinan Harun Ar-Rasyid.

Sumbangan terbesar beliau ialah dalam lapangan ilmu kimia. Beliau cukup terkenal kerana hasil penulisan yang melebihi daripada seratus risalah yang telah diabadikan sehingga kini. Terdapat sebanyak 22 risalah yang antaranya berkaitan dengan ilmu kimia.Beliau yang telah memperkenalkan model penelitian dengan cara eksperimen. Beliau yang menjana momentum bagi perkembangan ilmu kimia moden. Jabir banyak mengabdikan dirinya dengan melakukan eksperimen dan pengembangan kaedah untuk mencapai kemajuan dalam bidang penyelidikan. Beliau menumpukan seluruh tenaga dan usahanya kepada proses pengembangan kaedah asas ilmu kimia dan kajian terhadap pelbagai tindak balas kimia.

Beliau menegaskan bahawa kuantiti yang tepat daripada bahan kimia saling berhubungan dengan wujudnya tindak balas kimia yang akan berlaku. Oleh sebab itu, bolehlah dikatakan bahawa Jabir telah meletakkan dasar ke atas hukum nisbah tetap.
Sumbangan yang paling asas oleh Jabir dalam bidang ilmu kimia termasuk juga dalam bidang penyempurnaan pendekatan saintifik, seperti proses penghabluran, penyulingan, kalsinasi (penukaran logam kepada oksidanya dengan cara pembakaran), pejalwapan dan penyejatan.

Pencapaian utama yang disumbangkan oleh beliau ialah penemuan bahan mineral dan asid. Antara beberapa kejayaannya yang lain dalam bidang kimia, salah satunya ialah dalam penyediaan asid nitrik, hidroklorik, sitrik, dan tartarik. Penekanan Jabir dalam bidang eksperimen sistematik ini diketahui umum dan tidak ada saintis lain yang dapat menandinginya. Oleh sebab itul, Jabir telah diberi kehormatan sebagai "Bapa Ilmu Kimia Moden". Bahkan dalam tulisan Max Mayerhaff, disebutkan bahawa jika ingin mencari susur galur perkembangan ilmu kimia di Eropah maka bolehlah dijejaki secara langsung pada karya-karya Jabir Ibnu Haiyan.

Tegasnya, Jabir merupakan seorang pelopor dalam beberapa bidang pengembangan ilmu kimia gunaan. Sumbangan beliau termasuk juga dalam pembangunan keluli, penyediaan bahan-bahan logam, bahan anti-karat, tinta emas, penggunaan bijih mangan dioksida untuk pembuatan kaca, bahan pengering pakaian, dan penyamakan kulit. Sumbangan beliau juga pada menyediakan pelapisan bahan anti air pada pakaian, serta campuran bahan cat, dan gris. Selain itu, beliau juga mengembangkan teknik peleburan emas dengan menggunakan bahan aqua regia.

Idea eksperimen Jabir itu sekarang telah menjadi dasar untuk mengklasifikasikan unsur-unsur kimia, terutamanya pada bahan logam, bukan logam, dan penguraian bahan kimia. Beliau telah merumuskan tiga bentuk berbeza daripada bahan kimia berdasarkan unsur-unsurnya:
Cecair (spirit), yakni yang mempengaruhi pengewapan pada proses pemanasan, seperti pada bahan kapur barus (camphor), arsenik, dan ammonium klorida.
Logam, seperti emas, perak, timah, tembaga, besi.
Bahan campuran, yang boleh ditukar menjadi serbuk.
Pada abad pertengahan, risalah-risalah Jabir dalam bidang ilmu kimia - termasuk kitabnya yang masyhur, Kitab Al-Kimya dan Kitab Al-Sab'een, telah diterjemahkan ke bahasa Latin. Bahkan terjemahan Kitab Al-Kimya telah diterbitkan oleh orang Inggeris yang bernama Robert Chester pada tahun 1444, dengan judul The Book of the Composition of Alchemy. Buku kedua, Kitab Al-Sab'een diterjemahkan juga oleh Gerard dari Cremona. Berthelot pula menterjemahkan beberapa buku beliau, yang antaranya dikenali dalam judul Book of Kingdom, Book of the Balances, dan Book of Eastern Mercury.


Berikutnya pada tahun 1678, seorang berbangsa Inggeris, iaitu Richard Russel telah mengalih bahasa karya Jabir dengan judul Sum of Perfection. Berbeza dengan pengarang sebelumnya, Richard adalah orang yang pertama kali menyebut Jabir dengan sebutan Geber. Dialah yang memuji Jabir sebagai seorang pendeta Arab dan juga ahli falsafah. Buku ini kemudiannya menjadi sangat popular di Eropah selama beberapa abad lamanya dan telah memberi impak dan pengaruh yang cukup besar kepada evolusi ilmu kimia moden.


~eyman~