MAC 2006

Saturday, March 4
Manusia.
Tidak pernah puas.

Assalamualaikum.

Saya baru sahaja pulang dari Kursus MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) yang diadakan di sekolah. Penat masih belum hilang. Awal pagi tadi, latihan JPA bulanan diadakan. Berkawad selama 2 jam dan melatih asas kemahiran (membuat menara kawalan daripada buluh) selama 2 jam ditambah pula dengan masalah-masalah 'kecil' yang berlaku di sekeliling saya.

Dalam masa dua bulan kebelakangan ini, terlalu banyak perkara yang terjadi disekeliling kita. Terutama peningkatan harga minyak sebanyak 30 sen dan banjir di bandar seperti Shah Alam serta aduan pengguna air di kawasan Lembah Klang mengenai 'air busuk' . Semua yang terjadi ini sedikit sebanyak mempunyai impak terhadap saya.

1. Apabila harga minyak naik dengan mendadak, pelbagai masalah akan timbul. Contohnya kenaikan harga barangan akibat daripada kos operasi yang turut meningkat. Hal ini memberi satu kesan yang amat besar kepada warga kota seperti keluarga saya. Mungkin kepada pekerja yang mempunyai gaji tetap tidak perlu risau akan masalah ini. Namun, bagaimana pula akan pekerja-pekerja yang tidak mempunyai gaji tetap dan bagi mereka yang berpendapatan rendah tetapi mempunyai keluarga yang harus disara? Tidak sengsara dan menderitakah mereka?

Sebenarnya semua ini adalah kesan daripada pergolakan politik antarabangsa. Mangsanya adalah kita. Seharusnya penyelesaian yang bijak harus diambil bagi pemimpin supaya masalah seperti kenaikan harga minyak dapat diatasi. Tahun lepas sahaja sudah menyaksikan kenaikan harga minyak beberapa kali dalam masa enam bulan. Sebenarnya, masalah ini boleh diatasi dengan bijak dan cermat. Adakah kita mampu melaksanakan kehidupan harian kita dengan bijak dan cermat? Bagi saya, jika dilihat dalam konteks murid sekolah, masing-masing masih tidak boleh lagi melaksanakan hidup dengan bijak dan cermat. Semuanya masih terumbang-ambing walaupun sudah boleh menjadi ibu dan ayah kepada seseorang.

Semua ini harus diambil kira bagi membentuk sebuah masyarakat yang maju dan berilmu di masa akan datang. Jika sikap membuat keputusan yang bijak tidak dipraktikkan ketika umur masih muda remaja, impak atau kesannya boleh dilihat apabila seseorang itu dewasa.

Apabila dia bekerja, kita boleh melihat cara kerjanya yang tidak teratur.
Apabila dia mendirikan rumah tangga, kita boleh melihat dia menggunakan cara yang salah untuk mendidik anak-anak.

Saya akui bahawa semua ini belum saya lalui, namun perancangan dan usaha untuk membaiki diri perlu ada dari sekarang. Saya juga mengakui bahawa kita merancang dan Allah menentukan, tetapi, Allah akan melihat juga sebanyak mana usaha yang dilakukan bagi menjalankan sesuatu perkara itu.

2. Banjir.Banjir.Banjir.
Semua itu datang dari Allah atas sebab-sebab tertentu. Mungkin itu adalah satu proses 'penghapusan dosa' yang dilakukan oleh Allah kepada hamba-hambanya. Cuba kita lihat kejadian Tsunami yang berlaku dua tahun lepas. Adakah bencana itu adalah satu bencana semata-mata atau ada maksud yang tersirat sebaliknya. Hukuman Allah terdiri daripada berbagai jenis. Ada yang mengatakan bahawa jika seseorang itu sakit, Allah sedang menghukumnya atas dosa yang dilakukan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui!

Allah itu Maha Adil. Satu persoalan yang kini saya cuba renungkan. Adilkah manusia? Pada zaman ini, kita menyaksikan keadilan adalah sesuatu yang boleh dijual dan dibeli. Nilai ataupun kepuasan keadilan sudah tiada lagi. Walaupun saya bukanlah berasal dari zaman Rasulullah dan para Sahabah mahupun Tabi' dan Tabi' tabiin, saya rindukan sistem keadilan Islam yang dilaksanakan pada zaman tersebut. Satu sistem yang diiktiraf semua, sumbernya - Al-Quran dan As-Sunnah. Seseorang itu dibuktikan bersalah, dia rela dihukum. Diam. Tidak melawan.

Tidak perlulah saya menceritakan perihal 'orang-orang' kita. Seperti satu ungkapan yang dipetik dari bahasa pasar :'Sendiri mau fahamlah'.

Adilkah kita?
Kita sahaja yang mengetahuinya.
Jangan kita lupa.
Allah juga mengetahuinya.

3. Keadaaan di rumah saya kecoh apabila air berbau busuk. Bau lumpurlah. Bau najislah. Macam-macam pendapat diberikan. Pada mulanya abah merasakan bahwa tangki di rumah kami sudah kotor dan perlu dicuci. Rupa-rupanya, masalah ini dialami juga oleh penduduk-penduduk di sekitar Lembah Klang. Natijah daripada aduan-aduan, dua tiga hari selepas itu, pihak-pihak tertentu memberi kenyataan di dalam akhbar. Salah satu kenyataan berbunyi:

'...overflow has caused...'.

Tidak lama selepas itu, ramai membuat andaian sendiri. Semalam muka depan sebuah surat khabar berbunyi:

'Air 'busuk' suci'.

Saya terfikir, bagaimanakah keadaannya jika air tersebut tidak suci? Sahkah solat saya? Hanya perkara itu yang berlegar-legar dalam fikiran saya. Seharusnya, pihak tertentu/bertanggungjawab menjelaskan sejelas-jelasnya tanpa berselindung kerana ini melibatkan hal terpenting bagi seorang Muslim. Kesucian diri. Yalah, kita melaksanakan solat 5 kali sehari. Namun, kita serahkan sahaja soal menilai ibadah kita pada yang Satu kerana dia lebih mengetahui.

Satu senario yang pernah saya alami - 'Berselindung'. Perlukah kita berselindung? Dari sudut bahasa berselindung membawa pelbagai makna. Apa yang ingin saya sentuh ialah berselindung daripada kebenaran. Sesuatu yang bertentangan dengan prinsip saya kini. Kebenaran itu memang pahit dan kita perlu perjuangkannya kerana kebenaran itu juga manis.

Sedikit sebanyak tentang apa yang terjadi disekeliling saya. Moga-moga anda semua dapat sedikit sebanyak manfaaat.

Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang berjuang dijalannya dan Allah memurkai orang-orang yang mengingkari suruhannya.

Wallahualam
Baik dari Allah
Buruk dari saya

.iman.


1 comment:

Anonymous said...

Bahasa penulisan anda menunjukkan satu pemikiran yg matang bagi seorang pelajar.Bagus !!!Teruskan menulis......