MilikNYA

Sunday, March 26
Assalamualaikum,

Entah mengapa saya terkenang peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada saya sepanjang tahun lepas dan awal tahun ini selepas membaca blog seorang yang secara umumnya, mempunyai masalah yang sama dengan saya -usaha dan pengorbanan diri tidak dihargai orang, dalam hal-hal tegur-menegur, amal ma'ruf nahi munkar- Sebenarnya itu adalah secara umum. Terdapat banyak lagi cabang kepada permasalahan tersebut.

Namun tuan punya blog berkenaan seolah sudah puas dan bosan dengan sikap manusia di sekitarnya serta sudah hampir berputus asa, lantas sibuk mencanang usaha dan pengorbanannya serta merayu agar uasahanya dihargai walaupun sedikit. Baginya segala usahanya tidak bererti bagi manusia disekitarnya. Katanya, dia boleh tidak melakukan apa-apa [ usaha berdakwah/menolong/membetulkan rakan/kawan/sahabat/masyarakat sekitarnya], tetapi dia tidak mahu. Bagi saya, dia adalah seorang yang strong. Tidak mahu mengalah walaupun semangatnya hampir pudar dan hampir berputus asa. Jangan berputus asa, kerana Allah menyayangi mereka yang berjuang di jalanNYA!

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Daripada Hudzaifah R.A, bahawa Rasulullah bersabda:" Demi nyawaku ditanganNYA, wajib kamu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran atau (kalau tidak) pasti Allah akan turunkan azab kepadamu, kemudian kamu berdoa, maka tidak diterima doamu." (Riwayat Tarmizi)

Allah berfirman dalam surah Al-i-Imran:104 yang bermaksud: " Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebaikan (mengembangkan Islam), dan menyeru berbuat perkara yang serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan mereka (yang bersifat demikian) ialah orang yang berjaya."

Dia seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih berhikmah jika mahu terus berjuang dalam perjuangan yang memang dijamin olehNYA. Cuma dia hendaklah lebih bersifat strategik. Senang sahaja, ambil Rasulullah s.a.w sebagai contoh. Adakah anda semua masih ingat peristiwa di Taif? Tidak perlu susah-susah kita mengambil sirah Rasulullah berdakwah di Taif, cukuplah jika kita mengenang kembali usaha-usaha yang dilakukan oleh baginda kepada ayah saudara kesayangannya, Abu Talib. Hingga di saat-saat akhir Abu Talib, baginda berusaha sedaya upaya untuk mengislamkan Abu Talib.

Tidak pernah baginda merasa lemah/lemah semangat apabila usahanya ditolak, dikritik, dikeji orang. Apa yang baginda lakukan ialah terus berdoa supaya Allah membuka pintu hati mereka untuk menerima nur dan hidayah dariNYA. Baru satu contoh. Belum lagi dikeluarkan contoh-contoh lain yang banyak tak terhingga jumlahnya. Malulah kita kepada Rasulullah dan umat terdahulu yang tidak pernah merungut dan merasa susah dalam menjalankan dakwah. Astaghfirullah!

Bagi saya, setiap kebaikan yang kita kerjakan, ada hikmah manfaat tersendiri. Biar tiada orang yang menghargai namun, Dia akan menghargainya. Bukan semua yang dilakukan akan disukai orang. Saya akui perkara tersebut. Tidak semua orang akan menjadi seperti kita. TIDAK! Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk berhenti dari melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Cukuplah jika kita ada kesamaan dalam sesuatu perkara. Terutama dalam hal-hal agama, lebih-lebih lagi dalam hal-hal berkaitan hukum. Perkara lain tidak perlulah kita sentuh, itu adalah hak individu.

Rasanya cukup sudah saya 'mengkritik' empunya blog. Ampun maaf dari saya, sekadar menyuarakan ketidakpuasan kerana hal-hal remeh seperti ini sepatutnya diuruskan dengan mudah oleh orang yang makan garam lebih dari saya. Sepatutnya mereka lebih menumpukan perhatian kepada permasalahan yang melibatkan majoriti, bukannya yang bersifat minoriti. Kata-kata saya ini adalah kata-kata yang tidak profesional, mungkin. Teringin menyuarakan pendapat.

Segala yang buruk dari saya:

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Segala yang baik semestinya dari ALLAH s.w.t:

Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

eyman D.
"Sesungguhnya Allah bersama dengan golongan yang sabar.

No comments: