sukan+sukan+sukan

Wednesday, March 29
Assalamualaikum,

Sukan, sukan, sukan...

Semalam telah diadakan ujian tara yang sememangnya WAJIB dihadiri oleh semua pelajar. Seperti biasa, sesi ujian tara adalah satu sesi yang amat dibenci oleh para murid dan cikgu.

UJIAN TARA:

Lontar peluru : +- 1.5 meter
Larian : 65 meter dalam 11 s.

Mengapa WAJIB?
: kerana markah akan diberi.

1 M untuk kehadiran
1 M untuk lontar peluru (kalau lepas)
1 M untuk larian (kalau sampai sebelum 11s)

Terus terang saya katakan, saya amat membenci sesi ini kerana:

1. Saya tidak pernah mendapat satu markah untuk lontar peluru
2. Saya tidak pernah mendapat satu markah untuk larian.

Kebiasaannya saya hanya kan mendapat satu markah untuk kehadiran. Tambahan pula, petang semalam, cuaca amatlah terik+panas. Mencecah 40C saya kira. Apa-apa pun saya syukur sesi tersebut sudah berlalu.

Sukan, sukan, sukan

Pada hari ini pula, aktiviti usrah telah ditunda kepada minggu hadapan(mengganti aktiviti kelab+persatuan - kami[saya dan rakan sekelab] berasa amatlah sedih) kerana latihan/raptai perbarisan diadakan. Hanya tuhan saja yang tahu betapa penatnya berkawad ke sana ke mari. Latihan nasyid pula,hanya tuhan saja yang tahu...


to be continued...

eyman D.

1001cerita:Suka+Duka

Sunday, March 26
Assalamualaikum,

Sepanjang minggu lepas, jadual saya teramatlah padat tetapi tidaklah ketat. Seperti biasa, tuisyen+kerja rumah yang menggunung masih menjadi agenda utama dalam kotak pemikiran saya. Walaupun pelbagai perkara menanti saya, saya tetap dapat menyumbangkan tenaga kepada rumah sukan saya: Al-Fatah untuk merebut tempat pertama di dalam acara bola tampar. Sememangnya laluan kami agak sukar. Tahun lepas, kami gagal mendapat pingat dalam acara tersebut. Tahun ini, kami kembali dengan semangat baru-untuk memburu pingat emas.

Pusingan pertama menyaksikan Al-Fatah bertemu Al-Solah yang merupakan musuh tradisi. Laluan kami mudah. Kami memenangi perlawanan tersebut(2-0). Kegembiraan tidak terkira kerana tempat kedua atau tempat pertama sudah dalam genggaman. Pada hari Jumaat, pasukan kami bertemu pula dengan An-Najah(boleh dikatakan juara bertahan). Seperti yang dijangka, amat susah kami hendak menundukkan pasukan tersebut. Kami tewas 0-2 dengan An-Najah. Pingat perak menjadi milik kami. Alhamdullillah. Saya menutup tirai sukan saya di Al-Amin dengan pingat perak. Sesuatu yang akan menjadi kebanggaan saya sampai bila-bila.

Semalam pula, saya dan keluarga pergi ke Pesta Buku Antarabangsa yang berlansung di PWTC. Pada mulanya, saya merancang hendak pergi bersama rakan-rakan tetapi terpaksa dibatalkan kerana abah dan umi pun hendak ke sana. Jadi saya mengambil keputusan untuk berjumpa mereka di sana.

Kami bertolak pada pukul 11.25 pagi. Seperti yang diketahui, keadaan di sana amatlah sesak, ditambah pula dengan pameran direct selling yang turut berlansung di PWTC. Sesudah sampai saya terus menuju ke booth Karangkraf untuk mendapatkan koleksi Dewan Masyarakat sepanjang tahun lepas. Sayang sekali apabila D.M bulan November dan Disember sahaja yang dicetak semula. Selepas itu saya menuju ke booth Dawama dan membeli Majalah Tunas Cipta dan sebuah karya A.Samad Said:Lantai T.Pinkie. Akhir sekali saya ke booth Sasbadi dan Cerdik untuk membeli buku-buku latihan SPM.

Pelbagai aksi dan ragam manusia yang saya temui di sana. Seseorang yang paling saya tidak sangkakan untuk terjumpa ialah Salim Soccastar. Seperti biasa penulis-penulis novel Alaf 21 akan menghiasi booth Alaf 21 dan para artis di booth karangkraf. Keadaan di booth karangkraf amatlah sesak dengan kehadiran mereka. Maka peminat-peminat pun bergegas ke sana ke mari untuk bertemu dengan penulis kesayangan dan artis kesayangan mereka. Ya. saya juga seperti mereka satu masa dulu. Terasa amat bangga apabila dapat bersua muka dengan penulis novel kegemaran saya. Mulalah bertanya di mana beliau mendapat idea untuk menghasilkan novel yang begitu menyentuh hati/romantik/dan lain-lain. Semua itu DULU. Selepas menyertai MPR, saya seperti takut untuk membaca novel-novel itu lagi. Mungkin takut dilabel gersang oleh Faisal Tehrani. Mungkin.

Apa yang sebenarnya ialah, bukan saya tidak membaca novel-novel cinta lagi, cuma kurang selepas saya menyedari bahawa sesuatu karya yang baik untuk di baca bukanlah diukur dengan kehadiran watak heronya yang kacak+baik ataupun heroinnya cantik+naif, tetapi sesuatu karya yang baik dan memberi impak yang amat besar ialah sebuah karya yang menyentuh tentang pemikiran manusia tentang pelbagai perkara. Kehidupan realiti manusia dan bagaimana untuk mengatasi kemelut yang melanda. Kini, saya begitu tertarik dengan novel-novel hasil nukilan penulis seperti Faisal Tehrani. Pemikiran yang matang dan serius ditonjolkan dalam karya-karya beliau telah mengajak saya untuk berfikir dan menganalisis setiap perkara yang berlaku di sekeliling saya. Boleh dikatakan novel beliau, KOMBAT: 1511H banyak mempengaruhi hidup saya sekarang. Gaya penulisan beliau memang first class!

Menulis memang satu perkara yang amat menyeronokkan di mana kita menulis sesuatu dan akan dinilai oleh masyarakat pembaca. Bagi saya, saya hanya akan menulis apabila mendapat satu isu yang memang saya rasakan amat perlu dinilai dan dianalisis. Oleh sebab itu, saya jarang menulis kerana saya mahu karya saya juga mencapai tahap first class. Bagi sesetengah penulis, mereka mudah mendapatkan isu yang baik. Sekali jari dipetik, sepuluh isu boleh dibawakan. Terus terang saya katakan, saya bukan begitu. Kadang kala saya agak lumpy untuk memahami sesetengah perkara dan agak perlahan untuk menyuarakannya sebagai satu tulisan untuk tatapan semua. Saya akui saya takut dikritik. Amat takut. - salah satu faktor kenapa saya kurang menulis. Hehehehe. (bukan kerana malas) Saya akan cuba atasi masalah ini. :)

InsyaAllah saya akan cuba membaiki sikap takut dikritik dan akan terus menulis.

Projek tertangguh:

1.Gerak gempur -Drama
2.Biladur Nur (tajuk sementara) -Cerpen
3. Zaidi(tajuk sementara) -Cerpen
4. Tangisan Empayar Habsburg -Cerpen

.::.iman.::.
Hari esok akan lebih baik dari hari ini.

MilikNYA

Assalamualaikum,

Entah mengapa saya terkenang peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada saya sepanjang tahun lepas dan awal tahun ini selepas membaca blog seorang yang secara umumnya, mempunyai masalah yang sama dengan saya -usaha dan pengorbanan diri tidak dihargai orang, dalam hal-hal tegur-menegur, amal ma'ruf nahi munkar- Sebenarnya itu adalah secara umum. Terdapat banyak lagi cabang kepada permasalahan tersebut.

Namun tuan punya blog berkenaan seolah sudah puas dan bosan dengan sikap manusia di sekitarnya serta sudah hampir berputus asa, lantas sibuk mencanang usaha dan pengorbanannya serta merayu agar uasahanya dihargai walaupun sedikit. Baginya segala usahanya tidak bererti bagi manusia disekitarnya. Katanya, dia boleh tidak melakukan apa-apa [ usaha berdakwah/menolong/membetulkan rakan/kawan/sahabat/masyarakat sekitarnya], tetapi dia tidak mahu. Bagi saya, dia adalah seorang yang strong. Tidak mahu mengalah walaupun semangatnya hampir pudar dan hampir berputus asa. Jangan berputus asa, kerana Allah menyayangi mereka yang berjuang di jalanNYA!

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Daripada Hudzaifah R.A, bahawa Rasulullah bersabda:" Demi nyawaku ditanganNYA, wajib kamu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran atau (kalau tidak) pasti Allah akan turunkan azab kepadamu, kemudian kamu berdoa, maka tidak diterima doamu." (Riwayat Tarmizi)

Allah berfirman dalam surah Al-i-Imran:104 yang bermaksud: " Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebaikan (mengembangkan Islam), dan menyeru berbuat perkara yang serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan mereka (yang bersifat demikian) ialah orang yang berjaya."

Dia seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih berhikmah jika mahu terus berjuang dalam perjuangan yang memang dijamin olehNYA. Cuma dia hendaklah lebih bersifat strategik. Senang sahaja, ambil Rasulullah s.a.w sebagai contoh. Adakah anda semua masih ingat peristiwa di Taif? Tidak perlu susah-susah kita mengambil sirah Rasulullah berdakwah di Taif, cukuplah jika kita mengenang kembali usaha-usaha yang dilakukan oleh baginda kepada ayah saudara kesayangannya, Abu Talib. Hingga di saat-saat akhir Abu Talib, baginda berusaha sedaya upaya untuk mengislamkan Abu Talib.

Tidak pernah baginda merasa lemah/lemah semangat apabila usahanya ditolak, dikritik, dikeji orang. Apa yang baginda lakukan ialah terus berdoa supaya Allah membuka pintu hati mereka untuk menerima nur dan hidayah dariNYA. Baru satu contoh. Belum lagi dikeluarkan contoh-contoh lain yang banyak tak terhingga jumlahnya. Malulah kita kepada Rasulullah dan umat terdahulu yang tidak pernah merungut dan merasa susah dalam menjalankan dakwah. Astaghfirullah!

Bagi saya, setiap kebaikan yang kita kerjakan, ada hikmah manfaat tersendiri. Biar tiada orang yang menghargai namun, Dia akan menghargainya. Bukan semua yang dilakukan akan disukai orang. Saya akui perkara tersebut. Tidak semua orang akan menjadi seperti kita. TIDAK! Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk berhenti dari melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Cukuplah jika kita ada kesamaan dalam sesuatu perkara. Terutama dalam hal-hal agama, lebih-lebih lagi dalam hal-hal berkaitan hukum. Perkara lain tidak perlulah kita sentuh, itu adalah hak individu.

Rasanya cukup sudah saya 'mengkritik' empunya blog. Ampun maaf dari saya, sekadar menyuarakan ketidakpuasan kerana hal-hal remeh seperti ini sepatutnya diuruskan dengan mudah oleh orang yang makan garam lebih dari saya. Sepatutnya mereka lebih menumpukan perhatian kepada permasalahan yang melibatkan majoriti, bukannya yang bersifat minoriti. Kata-kata saya ini adalah kata-kata yang tidak profesional, mungkin. Teringin menyuarakan pendapat.

Segala yang buruk dari saya:

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Segala yang baik semestinya dari ALLAH s.w.t:

Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

eyman D.
"Sesungguhnya Allah bersama dengan golongan yang sabar.

Banyaknya!

Sunday, March 19
Wow! Banyaknya!

Assalamualaikum.

Bertemu kembali. Hari ini merupakan hari terakhir cuti sekolah. Esok sesi persekolahan 2006 akan disambung semula. Sepanjang cuti sekolah ini, jadual saya amat padat dan penuh. Hari Sabtu dan Ahad lepas, saya menghadiri bengkel Skor A SPM [Fizik dan Kimia] di Muzium Negara. Hari Isnin hingga Khamis pula saya menghadirkan diri ke bengkel SPM [Bahasa Melayu, Mat. Tamb. & Biologi] anjuran Kelab Kelas Ting. 5 sekolah saya di Research Centre, UIAM. Pada malam hari pula, saya sibuk dengan kelas tuisyen Kimia, Fizik, dan Biologi di Titian Cahaya.

Hari Jumaat, saya hanya berehat di rumah [kalau mengikut jadual yang dirancang, latihan debat bagi wakil sekolah diadakan pada pukul 3, tetapi telah dibatalkan kerana tutor kami dari UIAM sedang menghadapi exam]. Hari Sabtu dan Ahad pula kami sekeluarga pulang ke kampung bagi meluangkan masa dengan nenek, Wan, Cik Za, Apis, Amie and papok meran's family. Kami sekeluarga tiba di Kuala Lumpur lebih kurang pada jam 3.15 petang.

Wow! Banyaknya!

Pada hari esok sahaja saya perlu submit sekurang-kurangnya 6 homeworks dan pada awal pagi esok-sesudah perhimpunan pagi, saya akan menghadapi ujian Kimia [Bab tindak balas kimia, sebatian karbon, dan pengoksidaan dan penurunan]. Sehingga detik sekarang, saya baru sahaja mengulangkaji hingga bab ke-2. Terasa terlalu 'pening' dengan formula-formula yang tidak terhingga banyaknya, lantas saya duduk tercongok di hadapan laptop abah dan mula menaip. Homework BM pula tidak terkira banyaknya. Waduh.Waduh. Semuanya perlu dihantar selewat-lewatnya hari Selasa. Ujian Lisan BM SPM individu pun belum saya jalani. Ujian Lisan SPM BI berkumpulan pula akan menyusul.

Ust. Hafis memberikan kerja rumah BAT yang bilangan muka suratnya mencecah berbelas-belas. OoOoOoOo~. Hingga sekarang juga saya masih mencuba untuk menyiapkan kerja rumah Mat. Tamb. dan Mat. Mod. yang masih belum siap dari Januari. Ouch!*. Semua itu baru sahaja 1/4 dari kerja-kerja rumah yang perlu disiapkan dengan segera, belum ditambah dengan proses mengulangkaji 12 matapelajaran silibus tingkatan empat, entah bila boleh disiapkan.

Wow! Banyaknya!

Mengenai aktiviti ko-kurikulum pula. Seawal April nanti, saya dan team debat akan menyertai UIAM Interschool Debate buat kali yang kedua. Tidak memburu tempat, tetapi memburu pengalaman. Pada bulan Mei/Jun pula Piala MGB pula akan diadakan. Piala Al-Amin juga termasuk dalam agenda tahunan ko-kurikulum saya. Tamrin MT02 juga akan dilaksanakan pada bulan Mei/Jun. Lawatan/KPPK Hi-Tea/ debat persahabatan juga akan menanti saya dalam masa beberapa bulan akan datang.

Ramai yang merasakan ini semua kerja gila. Bagi saya tidak. Tidak sama sekali! Ramai orang boleh melakukannya termasuk saya. Semua ini memerlukan time management yang amat baik. Saya akan cuba mengatur masa dengan lebih baik. Apa gunanya jika seseorang itu hanya berjaya dalam bidang akademik tetapi gagal dalam ko-kurikulum dan sebaliknya. Saya tahu saya tidak berbakat dalam aktiviti sukan ataupun aktiviti JPA/Syabab, mungkin ini saja yang boleh menjadi poin tambahan semasa mendaftar di IPT/ untuk mendapat biasiswa. So, I will try my best to do the best and be the best! Wohoooo!

Wow! Banyaknya!
iman.
Jika anda menemui jalan buntu, jangan berputus asa atau mara ke hadapan, tetapi cuba undur ke belakang, dan anda akan menjumpai satu simpang yang penuh dengan harapan.

MAC 2006

Saturday, March 4
Manusia.
Tidak pernah puas.

Assalamualaikum.

Saya baru sahaja pulang dari Kursus MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) yang diadakan di sekolah. Penat masih belum hilang. Awal pagi tadi, latihan JPA bulanan diadakan. Berkawad selama 2 jam dan melatih asas kemahiran (membuat menara kawalan daripada buluh) selama 2 jam ditambah pula dengan masalah-masalah 'kecil' yang berlaku di sekeliling saya.

Dalam masa dua bulan kebelakangan ini, terlalu banyak perkara yang terjadi disekeliling kita. Terutama peningkatan harga minyak sebanyak 30 sen dan banjir di bandar seperti Shah Alam serta aduan pengguna air di kawasan Lembah Klang mengenai 'air busuk' . Semua yang terjadi ini sedikit sebanyak mempunyai impak terhadap saya.

1. Apabila harga minyak naik dengan mendadak, pelbagai masalah akan timbul. Contohnya kenaikan harga barangan akibat daripada kos operasi yang turut meningkat. Hal ini memberi satu kesan yang amat besar kepada warga kota seperti keluarga saya. Mungkin kepada pekerja yang mempunyai gaji tetap tidak perlu risau akan masalah ini. Namun, bagaimana pula akan pekerja-pekerja yang tidak mempunyai gaji tetap dan bagi mereka yang berpendapatan rendah tetapi mempunyai keluarga yang harus disara? Tidak sengsara dan menderitakah mereka?

Sebenarnya semua ini adalah kesan daripada pergolakan politik antarabangsa. Mangsanya adalah kita. Seharusnya penyelesaian yang bijak harus diambil bagi pemimpin supaya masalah seperti kenaikan harga minyak dapat diatasi. Tahun lepas sahaja sudah menyaksikan kenaikan harga minyak beberapa kali dalam masa enam bulan. Sebenarnya, masalah ini boleh diatasi dengan bijak dan cermat. Adakah kita mampu melaksanakan kehidupan harian kita dengan bijak dan cermat? Bagi saya, jika dilihat dalam konteks murid sekolah, masing-masing masih tidak boleh lagi melaksanakan hidup dengan bijak dan cermat. Semuanya masih terumbang-ambing walaupun sudah boleh menjadi ibu dan ayah kepada seseorang.

Semua ini harus diambil kira bagi membentuk sebuah masyarakat yang maju dan berilmu di masa akan datang. Jika sikap membuat keputusan yang bijak tidak dipraktikkan ketika umur masih muda remaja, impak atau kesannya boleh dilihat apabila seseorang itu dewasa.

Apabila dia bekerja, kita boleh melihat cara kerjanya yang tidak teratur.
Apabila dia mendirikan rumah tangga, kita boleh melihat dia menggunakan cara yang salah untuk mendidik anak-anak.

Saya akui bahawa semua ini belum saya lalui, namun perancangan dan usaha untuk membaiki diri perlu ada dari sekarang. Saya juga mengakui bahawa kita merancang dan Allah menentukan, tetapi, Allah akan melihat juga sebanyak mana usaha yang dilakukan bagi menjalankan sesuatu perkara itu.

2. Banjir.Banjir.Banjir.
Semua itu datang dari Allah atas sebab-sebab tertentu. Mungkin itu adalah satu proses 'penghapusan dosa' yang dilakukan oleh Allah kepada hamba-hambanya. Cuba kita lihat kejadian Tsunami yang berlaku dua tahun lepas. Adakah bencana itu adalah satu bencana semata-mata atau ada maksud yang tersirat sebaliknya. Hukuman Allah terdiri daripada berbagai jenis. Ada yang mengatakan bahawa jika seseorang itu sakit, Allah sedang menghukumnya atas dosa yang dilakukan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui!

Allah itu Maha Adil. Satu persoalan yang kini saya cuba renungkan. Adilkah manusia? Pada zaman ini, kita menyaksikan keadilan adalah sesuatu yang boleh dijual dan dibeli. Nilai ataupun kepuasan keadilan sudah tiada lagi. Walaupun saya bukanlah berasal dari zaman Rasulullah dan para Sahabah mahupun Tabi' dan Tabi' tabiin, saya rindukan sistem keadilan Islam yang dilaksanakan pada zaman tersebut. Satu sistem yang diiktiraf semua, sumbernya - Al-Quran dan As-Sunnah. Seseorang itu dibuktikan bersalah, dia rela dihukum. Diam. Tidak melawan.

Tidak perlulah saya menceritakan perihal 'orang-orang' kita. Seperti satu ungkapan yang dipetik dari bahasa pasar :'Sendiri mau fahamlah'.

Adilkah kita?
Kita sahaja yang mengetahuinya.
Jangan kita lupa.
Allah juga mengetahuinya.

3. Keadaaan di rumah saya kecoh apabila air berbau busuk. Bau lumpurlah. Bau najislah. Macam-macam pendapat diberikan. Pada mulanya abah merasakan bahwa tangki di rumah kami sudah kotor dan perlu dicuci. Rupa-rupanya, masalah ini dialami juga oleh penduduk-penduduk di sekitar Lembah Klang. Natijah daripada aduan-aduan, dua tiga hari selepas itu, pihak-pihak tertentu memberi kenyataan di dalam akhbar. Salah satu kenyataan berbunyi:

'...overflow has caused...'.

Tidak lama selepas itu, ramai membuat andaian sendiri. Semalam muka depan sebuah surat khabar berbunyi:

'Air 'busuk' suci'.

Saya terfikir, bagaimanakah keadaannya jika air tersebut tidak suci? Sahkah solat saya? Hanya perkara itu yang berlegar-legar dalam fikiran saya. Seharusnya, pihak tertentu/bertanggungjawab menjelaskan sejelas-jelasnya tanpa berselindung kerana ini melibatkan hal terpenting bagi seorang Muslim. Kesucian diri. Yalah, kita melaksanakan solat 5 kali sehari. Namun, kita serahkan sahaja soal menilai ibadah kita pada yang Satu kerana dia lebih mengetahui.

Satu senario yang pernah saya alami - 'Berselindung'. Perlukah kita berselindung? Dari sudut bahasa berselindung membawa pelbagai makna. Apa yang ingin saya sentuh ialah berselindung daripada kebenaran. Sesuatu yang bertentangan dengan prinsip saya kini. Kebenaran itu memang pahit dan kita perlu perjuangkannya kerana kebenaran itu juga manis.

Sedikit sebanyak tentang apa yang terjadi disekeliling saya. Moga-moga anda semua dapat sedikit sebanyak manfaaat.

Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang berjuang dijalannya dan Allah memurkai orang-orang yang mengingkari suruhannya.

Wallahualam
Baik dari Allah
Buruk dari saya

.iman.