Ramadhan: Pembersihan jiwa bermula!

Monday, September 1

Assalamualaikum,

Syukur ke hadrat Ilahi, hamba yang kerdil lagi hina ini sekali lagi dapat menghirup nyamannya Ramadhan. Alhamdulillah. Nikmat yang tidak diberikan kepada semua makhluk. Ada yang pergi dulu sebelum dapat merasa kemanisan bulan yang mulia, Ramadhan el-Kareem.

Setiap tahun, Ramadhan sentiasa dinanti. Ketika inilah, semuanya berlumba-lumba untuk merebut Lailah el-Qadr. Ketenangan mulai menusuk kalbu saat Imam mengangkat takbir untuk solat sunat Terawih yang pertama. Kali ini, keluarga tercinta kembali menemani sahur di pagi hari. Alhamdulillah.

Moga-moga Ramadhan kali ini menjadi satu stesen; untuk kita menaiktaraf tahap iman dan membersihakan jiwa yang telah dikotori dengan dosa-dosa dan maksiat selama sebelas bulan yang lalu. Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat; berdoalah di malam Ramadhan, insyaAllah akan termakbul permintaanmu.

Kembali bersama keluarga membuat saya terkenang saat menyambut Ramadhan di rantau orang bersama rakan-rakan yang baru dikenali. Namun suasana tanah Arab yang sentiasa menantikan kedatangan Ramadhan melenyapkan kerinduan yang mencengkam. Kami belajar untuk menghayati Ramadhan dari perspektif yang berbeza. Masyarakat Arab mengangkat Ramadhan lebih tinggi dari bulan-bulan yang lain. Tidak seperti masyarakat kita yang lebih mengiktiraf bulan Syawal.

Saya kira, kedua-dua situasi memberikan saya kelebihan. Apabila bersama dengan keluarga, ibadah berjemaah bersama keluarga dapat dijalankan; menanamkan rasa kasih sayang antara ahli keluarga dan bersama-sama mengejar pahala ibadah seribu bulan.

Ketika berjauhan pula, diri ini diberi peluang untuk memantapkan diri dengan pelbagai ilmu dan mempelajari budaya baru serta mengajar diri untuk lebih tabah dalam mengharungi kehidupan yang serba kekurangan. Kedua-dua keadaan itu sememangnya menjadikan saya semakin kuat; dan semua itu terjadi di atas landasan Ramadhan.

Tidak kira anda berada dimana, nikmatilah Ramadhan kali ini dengan penuh syukur dan tawadu', setiap apa yang diberikan adalah yang terbaik di sisi Allah dan Dia tidak akan meletakkan hambaNya di dalam sesuatu keadaan kecuali keadaan itu membawa kebaikan. Ingatlah, mungkin Ramadhan kali ini adalah yang terakhir...

Ahlan ya Ramadhan, ahlan.


نـَوَيْتُ صَوْمَ غـَدٍ عَـنْ ا َدَاءِ فـَرْض ِ شـَهْرِ رَمـَضَانَ هـَذِهِ السَّـنـَةِ لِلـَّهِ تـَعَالىَ


eymand
: Ramadhan hanya datang sekali, bersihkanlah jiwamu sehingga kau menangisi pemergian bulan yang mulia itu. Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, setiap apa yang kau lakukan pada bulan ini, diniatkan kerana Allah, akan digandakan ganjarannya. Mintala apa saja dengan linangan air mata yang ikhlas, nescaya Allah akan mengurniakannya. Jangan sia-siakan Ramadhan kali ini kerana ini mungkin yang terakhir:

Salam Ramadhan kepada semua kaum kerabat, sahabat handai dan sesiapa saja yang mengenali diri ini. Diri memohon maaf atas segala kesilapan. Mari bersama-sama mengejar lailah el-qadr!

No comments: