Sebuah perjalanan. Perjalanan hidup aku.

Saturday, April 5
Assalamualaikum,

Dalam masa kurang dari 3 bulan saya akan menghabiskan tahun pertama saya sebagai seorang pelajar perubatan di sini. Sekejapnya! Baru sahaja tadi kami menghabiskan kuliah terakhir subjek histology.

Seperti baru semalam saya berpisah dengan abah dan umi di KLIA. Seperti baru semalam saya menjejakkan kaki di bumi Mesir ini. Seperti baru semalam saya berpindah ke Fustat dan berkenalan dengan rakan-rakan serta sahabat yang kini menjadi teman dikala senang dan susah. Masa berputar terlalu cepat sehingga saya sendiri tidak dapat mengejarnya.

Setengah tahun yang pertama saya masih lagi dalam mode menyesuaikan diri. Kini saya mula menyibukkan diri dengan kelas-kelas agama dan Talaqi agar tidaklah sia-sia saya bermukim di bumi ulama' dan anbiya' ini. Moga-moga Allah memberkati usaha-usaha saya. Amin.

Tanpa disedari, bumi barakah ini mematangkan saya. Saya belajar apa itu erti kehidupan di sini. Bagaimana mahu menjalani kehidupan harian tanpa abah dan umi dan membuat keputusan. Perjalanan hidup saya kini menjadi lebih bermakna.

Dulu, saya selalu berdoa agar diberikan yang terbaik untuk diri saya, agar saya boleh membaiki diri dan menjadi seorang Islam yang lebih baik. Akhirnya, Dia menghantar saya ke sini. Oleh kerana itu, saya menghargai setiap saat saya di sini. Setiap saat itu adalah detik perubahan saya untuk menjadi seorang yang lebih baik. Tidak saya nafikan, kehidupan tidak selalunya indah. Ada masanya kita diuji dengan pelbagai ujian. Namun, kini saya lebih tabah dan kuat untuk mengharungi setiap ujian yang diberiNYA. Tidak sabar rasanya untuk pulang dan berkongsi pengalaman-pengalaman yang dilalaui dengan keluarga dan rakan-rakan.

Ya Allah! Aku mensyukuri setiap nikmat yang kau kurniakan kepadaku. Tidaklah kau jadikan sesuatu perkara ke atasku melainkan semuanya adalah untuk kebaikan diriku juga.
Terima kasih Ya Rahman kerana menghantar aku ke sini, tempat yang mengenalkan aku apa itu erti kehidupan...


ايمن
mounira.


No comments: