Jerebu oh Jerebu!

Thursday, August 11
Assalamualaikum.

Kemalasan mengusai diri. Tidak kira dalam apa bidang. Belajar. Menulis. Memperbaiki diri. Mengemas bilik. Nampaknya negara kita kini 'teruk' dilanda jerebu. Setiap hari saya akan berada di hadapan TV untuk melihat perkembangan terkini. Bukan melihat adakah jerebu bertambah elok, tetapi melihat adakah cuti akan diberikan. Hehehe.

Maka, dengan sukacitanya, semalam, Pn. Azizan mengisytiharkan bahawa SMIAAG akan bercuti selama 3 hari (Termasuk hari Sabtu yang dijadualkan akan bersekolah - mengganti cuti PMR pada bulan 10). Apa lagi, semua pelajar lelaki di dalam kelas kelihatan begitu ceria dan bahagia. Mereka juga telah merancang apa yang akan dilakukan semasa bercuti. Ada-ada saja...

Itu adalah dari kacamata pelajar sekolah. Begitu ceria, gembira, bahagia apabila kementerian memberi lampu hijau kepada pengetua dan guru besar untuk meluluskan cuti jika keadaaan jerebu bertambah buruk. Namun, kita tidak sedar bahawa jerebu kini telah mencapai tahap bahaya di sesetengah kawasan. Misalnya, hari ini Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor diisytiharkan darurat. IPU telah melebihi 500! Papok Meran (abang umi) yang bekerja di Pelabuhan Klang masih tidak pulang ke rumah selepas darurat diisytiharkan. Jenuh umi menelefonnya, menyuruh dia pulang sebelum keadaan semakin teruk. Katanya, majikannya masih belum hendak melepaskan mereka, manakala pejabat di sebelah sudah pun ditutup. Umi pula memberitahunya supaya memberitahu majikannya bahawa majikan-majikan yang tidak menjaga kesihatan para pekerja sesama keadaan berjerebu boleh dikenakan denda atau di penjara 2 tahun. Wan Azam (adik umi) pula merungut mengapa darurat tidak diisytiharkan di seluruh Selangor. Dia pun ingin bercuti. Saya juga kasihankan Wan. Tugasnya memerlukannya keluar dan berada dalam keadaan yang berjerebu. Susah kalau apa-apa yang terjadi kepadanya.

Dalam akhbar tempatan ada mengatakan, jerebu kali ini mengandungi bukan saja gas beracun tetapi magnesium yang berbahaya kepada rakyat jelata. Banyak-banyaklah kita berdoa kepada Yang Esa supaya keadaan ini tidak berlarutan.

Oleh kerana hari ini tidak ke sekolah, saya banyak menghabiskan masa surfing internet dan melihat berita terkini di TV. Saya pelik apabila IPU (Indeks Pencemaran Udara) antara beberapa stesen TV tidak seragam. Ada yang menunjukkan angka yang kurang dan ada yang lebih. Sepatutnya dalam kes-kes yang 'bahaya' seperti ini, pihak terbabit haruslah melaporkan berita yang tepat. Rakyat juga yang akan susah kelak kalau terjadi apa-apa.

Tidak perlulah kita saling menyalahi tetapi saya amat menyeru dan berharap agar situasi ini tidak berlanjutan. Yalah, kadang-kadang teringin juga hirup udara yang segar. Harap-harap kerajaan seberang dapat membantu negara kita menyelesaikan masalah yang kita hadapi- sememangnya berpunca dari sana.

Tadi, kami sekeluarga pergi menghantar Aman ke Titian Cahaya di Melawati. Selepas itu kami meronda-ronda di KL. KLCC sudah tidak kelihatan dari flightover di Jelatek. Keadaan di Jalan Ampang tidak semeriah seperti biasa. Rata-rata pejalan kaki, penunggang motosikal memakai penutup hidung bagi mengelakkan masalah pernafasan. Adik-adik yang lain pula sibuk memakai topeng itu di dalam kereta.

Sememangnya jerebu ini merupakan satu peristiwa yang saya akan kenang dalam hidup saya. Memang satu perkara yang 'besar' dan menggemparkan. Walaubagaimanapun, jangan kita lupa, mungkin ini petunjuk dari Allah supaya kita kembali ke jalan yang benar. Marilah kita bersama-sama menginsafi diri dan bertaubat sebelum terlambat. Masa tidak menunggu kita tetapi kita harus mengejarnya....

adios,
~eyman~

1 comment:

Anonymous said...

First time u give a good view of life...keep it up.!!