# Enam: Seketul daging, hati namanya.

Sunday, January 13
Salam alaik.

Rindu. Sangat rindu.

Pancit.

Ya! Tayar 'kereta' saya pancit.

Saya selalu mencari alasan untuk mencari dan berhenti di 'stesen pembaikan'. Alasan demi alasan. Akhirnya, pemanduan saya teruskan, dengan tayar yang pancit.

Perjalanan yang sepatutnya lancar, kerap kali terhenti dan beralih arah. Suasana yang tidak kondusif. Tekanan semakin menggunung.

Walaupun minyak tidak pernah lupa diisi, 'tayar' yang pancit tetap melambatkan perjalanan saya. Saya sendiri tidak tahu sejauh mana saya sudah ketinggalan dan lari dari jadual asal.

Keluhan demi keluhan, tetap, saya memilih untuk tidak membaiki 'tayar' yang pancit itu.

Mengapa?

Hati. Seketul daging di dalam jasad manusia yang menentukan baik atau buruknya seseorang itu.

Hati yang kotor dan penuh dengan dosa, masakan boleh memandu jasad ke arah kebaikan. Walaupun berada di atas landasan dan jalan yang betul, hati yang rosak itu akan mengganggu tuannya. Tersasar dan jatuh. Dan jatuh lagi.

Terlalu banyak yang berlaku. Yang datang. Yang pergi.

Ya. Dunia ini bukan tempat untuk bersenang-senang. Bukan tempatnya untuk bersuka-suka. Bukan tempatnya untuk memiliki dunia dan isinya.

[Jasad]
Wahai hati, mengapa terlalu cintakan dunia? Mengapa terlalu dekat dunia di hatimu? Bila hilang isinya, kau seakan tidak redha. Bila sampai padamu perkara yang tidak kau gemari, kau semakin menjauh dan hanyut dalam lekamu.

Lalu kau biarkan dirimu terus rosak. Sedikit demi sedikit. Sehingga dosa yang berlarutan itu kau fikir biasa. Tiada kekesalan. Tiada rasa takut pada yang Maha Melihat. Na'uzubillah.

Allah ada. Jangan kau lupa. Banyak mana dosamu, Dia sedia memaafkan.

Jangan pernah penat untuk kembali dan membaiki dirimu, wahai hati.
Allah tidak akan pernah penat untuk mengampunkanmu, selagi mana kau tidak penat untuk kembali kepadaNya.

[Hati]
Apa yang aku takuti adalah dosa yang menggunung. Terlalu banyak. Hingga aku menjadi sesak. Aku tahu Dia sentiasa ada. Sentiasa ada untuk aku mengadu. Sentiasa memberi walau aku tak pinta.

Namun aku malu. Aku malu denganNya. Nikmat yang tidak pernah putus, tanda cintaNya padaku berterusan. Cintaku padaNya?

Aku malu memikirkan, layakkah aku berada di syurga? Bersama kekasih-kekasihNya? Bersama mereka yang bersih jiwanya. Sedangkan aku, berlumuran dosa, hingga aku lupa pada fitrah insan sebagai hamba. Na'uzubillah.

Ampunkan aku ya Allah. Aku tahu, pintu taubatMu masih ada buatku. Walaupun aku malu, hanya padaMu aku berserah diri dan bersujud.

Hanya Kau sahaja yang mampu mengubat luka-luka di hati dan memberi penawar terbaik untukku.

{أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ}


ImanD




No comments: