Setahun berlalu

Saturday, March 29
Assalamualaikum,

Setahun berlalu. Saya hampir mengabiskan tahun pertama sebagai pelajar perubatan di bumi penuh barakah ini. Terlalu banyak liku-liku hidup yang tidak mampu untuk saya ceritakan di sini. Ada yang menguji fikrah saya sebagai seorang muslim, ada juga yang membantu saya untuk menjadi seorang yang lebih baik.

Kepada adik-adik yang kini giat mengisi borang, menghadiri temuduga dan sebagainya, saya mendoakan anda semua membuat pilihan yang bijak dalam memilih masa depan yang diredhai Allah. Sesungguhnya kita merancang, Allah juga merancang, namun perancangan Allah adalah yang terbaik.

Teringat bagaimana saya diuji dahulu. Temuduga JPA saya hadiri, temuduga MARA juga saya hadiri. Pelik? Memang pelik tetapi benar. Gagal temuduga JPA(Engineering) dan kemudiannya ditawar untuk melanjutkan pelajaran di Mesir(Medic). Tidak perlu saya ulas dengan lebih panjang rentetan penuh bersejarah di dalam perjalanan hidup saya yang penuh dengan warna-warni kehidupan.

***
Hari ini:

* SC di rumah
* Kelas Sirah di rumah Kak Rai
* Perjumpaan di rumah Husna

InsyaAllah esok akan diadakan short test untuk Histology. Doakan yang terbaik untuk saya.

eymand
Fustat.

Pit stop seterusnya?

Saturday, March 22
Assalamualaikum,



Congrats bros! Both of you made me proud.



Aman berjaya mendapat straight As dalam Sijil Pelajaran Malaysia Nya. Saya separuh histeria apabila dia menelefon saya. Malam itu saya tidak boleh lena, mengenangkan saat-saat saya menerima keputusan saya tahun lepas.

Aman membuat keputusan untuk 'join' perjalanan hidup saya di sini. Perasaan saya? Semestinya saya bimbangkan dia. Sejak kecil lagi, saya selalu bimbangkan dia. Ketika saya darjah dua, dia memasuki alam persekolahan yang sebenar buat pertama kali. Ketika saya tingkatan dua, dia memasuki alam remaja. Kini, ketika saya di tahun dua, saya mungkin akan bersama-sama dia buat sekali lagi-melihat dia memasuki alam kehidupan yang sebenar.

Saya benar-benar merindui aman, acid, qila, yam, aim dan auf. Bila bersama, kami akan bergaduh. Bila berjauhan, kami saling merindui. Tidak mengapa. Saya akan balik dalam masa 3 bulan lagi. Saya akan pulang ke Malaysia pada 12 Julai dan pulang ke sini semula pada 10 Oktober. (itupun kalau pass with flying colors laa, kalau tak, kena repeat exam lerr...)

Doakan saya!

eymand



Aurat II

Saturday, March 8
Assalamualaikum,


courtesy: ronpress

Sesungguhnya tidak ada kerugian dalam menjalankan syariat Allah. Mereka yang sentiasa istiqamah akan beroleh ganjaran di kemudian hari. Percayalah pada janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNYA...

eymand
mounira.

Ujian dan dugaan

Wednesday, March 5
Assalamualaikum,

Pernahkan anda merasakan hari-hari yang mendatang seakan-akan pudar dan tidak bermakna, titian perjalanan hidup dirasakan terumbang-ambing. Saat itu hanya air mata yang mampu dititiskan agar segala sesak dan serabut yang mencengkam kalbu dapat dilupakan seketika. Diri takut untuk berhadapan dengan realiti. Sangat takut untuk mengetahui hakikat betapa ia berada sangat jauh denganNYA. Semakin lama semakin tersasar dari trek kebenaran. Apabila ujian dan dugaan dianggap musibah dan menjadi alasan untuk terus tersungkur. Akhirnya perjalanan hidup sebagai seorang hamba menemui noktah sia-sia, sedangkan perjuangan masih belum berakhir, bahkan baru saja memulakan rentaknya.

Aku memandang ke luar jendela. Kelihatan anak-anak kecil berlari-larian riang di hujung jalan. Beburung berkicau gembira. Angin juga bertiup sepoi-sepoi membuatkan suasana menjadi nostalgik. Keluhan berat dilepaskan. Sesak jiwaku apabila ma memintaku untuk pulang. Kubur ayoh masih lagi merah warnanya. Air mata ma masih lagi terasa hangat di pipi. Haruskah aku pulang, sedangkan aku tidak punyai lagi matlamat untuk hidup di sana. Perginya ayoh bersama semangatku. Tertanam segala impian dan cita-citaku di liang lahadnya. Ayoh sudah pergi dan tidak akan kembali. Satu kenyataan yang aku benci. Sangat aku benci.

Anas, hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan. Setiap manusia akan melalui saat-saat sukar dalam hidup. Saat itu, selesaikan segala masalah yang menghampirimu dengan baik. Hanya mereka yang bijak saja boleh melakukannya. Allah berfirman dalam surah Al-Insyirah; “Sesungguhnya bersama kesulitan, ada kemudahan”. Bersamamu akal, berfikirlah anakku.

Ayoh tidak pernah lekang dengan kata-kata semangat. Setiap kali aku terjatuh, pasti ayoh akan menghulurkan tangan. Selepas ini, tiada siapa lagi yang akan menghulurkan tangan. Giliran aku pula untuk menghulurkan tanganku kepada ma dan adik-adik. Mampukah aku?

Azan maghrib memecahkan heningnya suasana. Lekas-lekas air mata yang tumpah aku seka dengan lengan baju melayu teluk belanga berona biru milik ayoh. Sekali lagi aku tumpas dengan perasaan. Aku mengatur langkah ke bilik air, bersedia untuk menjalankan tanggungjawab kepada yang Esa. Entah mengapa aku berasa semakin dekat denganNYA. Sudah lama aku tidak begini.

Anas, setiap kali kau bangun dari tidurmu, bersyukurlah kerana Tuhan membenarkan kau kembali hidup selepas mematikan kau seketika. Dia memberi peluang kepada kau untuk membaiki segala kesilapan yang kau lakukan pada hari sebelumnya. Oleh, itu lakukanlah kebaikan sebanyak yang mungkin kerana mungkin esok tiada bagimu. Ingatlah, Allah berfirman dalam surah Al- Zalzalah; “Maka sesiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya”. Bersamamu akal, berfikirlah anakku.

Suara serak-serak basah ayoh jelas kedengaran di cuping telingaku. Asap rokok gulung ayoh masih lagi berbau. Aku tahu aku mempunyai tanggungjawab untuk terus belajar dan berjaya. Namun, ma dan adik-adik tidak boleh dibiarkan begitu saja. Pemergian ayoh berbekas di hati. Aku pasti, jika aku pulang, hatiku akan tertinggal di sini, bersama ma dan adik-adik. Matahari sudah berdiri tegak di atas kepalaku ketika aku meninggalkan rumah tadi. Sejak ayoh tiada, tiap-tiap hari aku berulang alik dari Kota Bharu ke Pasir Puteh untuk menjemput ma dari tempat kerja. Aku lebih gemar berjalan kaki dari rumah ke hentian bas di hujung jalan besar, perjalanan dengan bas pula mengambil masa 20 minit. Dulu ayoh selalu saja membawaku bersama-sama untuk menjemput ma dari tempat kerja. Ayoh selalu saja menceritakan kisah para anbiya’ dan sahabat kepadaku. Aku sangat menyukai kisah seorang Musyrikin yang pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup ketika zaman jahiliyyah akhirnya menjadi salah seorang dari sepuluh orang yang dijanjikan syurga di akhirat kelak. Entah mengapa aku merindui waktu dulu. Segala nasihat dan ajaran ayoh kembali ligat berputar di kotak istimewa pemberian Tuhan kepadaku.Akal.

Anas, hidup dan mati bukan kita yang tentukannya. Pasti kau tahu akan fakta itu kan? Kematian adalah permulaan kehidupan yang seterusnya di alam barzakh. Kematian bukanlah titik terakhir dalam garis hidup seorang muslim. Janji Allah kepada makhluknya; “Setiap yang hidup akan menemui kematian”. Persiapkanlah dirimu untuk bertemu dengan kematian. Takutlah kau akan azab kubur. Ajaklah kepada kebaikan, dan jauhilah kemungkaran. Jadilah manusia yang berguna. Bukan saja kepada keluarganya, tetapi kepada agamanya. Dalam setiap perkara yang kau lakukan, berpeganglah kepada Quran dan Sunnah Rasulullah. Bersamamu akal, berfikirlah anakku.

Kumpulan awam menemani lamunanku semenjak Boeing 747 meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejam yang lalu. Biarpun hatiku bagaikan diracik-dicincang saat aku melangkah masuk balai berlepas, ingatan ayoh segera membuatkan aku kembali kuat untuk berjuang. Ayoh tentu tidak mahu anaknya berundur dari medan peperangan. Aku ingin ayoh bangga dengan aku. Bangga mempunyai seorang anak yang terus berjuang walaupun terlalu banyak rintangan yang terpaksa dilaluinya. Aku ingin menjadi hamba yang disayangi. Oleh itu, aku harus kuat. Allah lebih menyayangi muslim yang kuat dari muslim yang lemah.

Bersamamu akal, berfikirlah…

eymand
Fustat.