My first ever interview!
Berdebar-debar juga apabila mendapat panggilan interview daripada JPA. Terlalu banyak persoalan bermain-main di minda. Pakaian yang sesuai, tatacara yang sopan, jawapan yang berkeyakinan, dan yang semestinya pantang larang interview.
Mungkin bagi mereka yang merupakan bekas murid sekolah berasrama penuh, interview adalah perkara biasa. Sebahagian besar daripada mereka telah melalui proses temuduga berkali-kali, lebih-lebih lagi, murid-murid yang mendapat keputusan yang cemerlang semasa Trial SPM. Temuduga sudah menjadi perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan.
Berlainan dengan kami, murid-murid sekolah swasta Islam yang sememangnya kurang pendedahan terhadap 'perkara-perkara' sebegini. Kami sudah biasa dianak-tirikan.
Sejak dari Darjah Satu kami dididik dengan tatacara dan adab sopan Islam yang sebenar. Batas-batas pergaulan juga selalu ditekankan oleh ustaz dan ustazah; membuatkan kami kadang kala kurang senang bekerja dengan lelaki. Akibatnya, kami membesar sebagai seorang yang pemalu dan kurang berkeyakinan. Mungkin juga disebabkan kami tidak mempunyai banyak aktiviti luaran yang melibatkan sekolah-sekolah lain seperti sekolah-sekolah kerajaan.
Keyakinan diri bagi murid-murid Al-Amin adalah sesuatu yang perlu dipupuk sendiri. Namun, hakikatnya, apabila melangkah keluar dari 'tempurung Al-Amin', serta-merta kami mampu berdiri sendiri. Mungkin kerana ingin memberitahu dunia bahawa jangan pandang rendah pada kami. Sehinggakan senakal-nakal dan sejahat-jahat murid Al-Amin, akhirnya akan menjadi pimpinan pelajar di Universiti.
Kami sememangnya bangga menyebut nama Al-Amin. Kami ingin sekali dikenali dan kami juga sudah buktikannya. Tahun lepas kami menyertai Debat Piala UIAM yang disertai oleh sekolah-sekolah yang bertaraf sekolah kluster(kini). Bagi mereka, beraksi di gelanggang UIAM merupakan pusingan memanaskan badan sebelum menyertai Piala Perdana Menteri(kalau tidak silap). Kalau kalah pun tidak apa. Mungkin mereka berfikir begitu.
Kami pula amat teruja apabila dapat menyertai pertandingan yang bertaraf peringkat kebangsaan. (Nak masuk MSSD pun susah, peringkat daerah Gombak je tu). Kami inginkan yang terbaik, tetapi kami tidak lupa diri. Kami sedar siapa kami-anak tiri, bukan anak kandung. Semua itu tidak menghalang kami untuk melakukan yang terbaik dan membuktikan bahawa Al-Amin boleh!
Doalah yang menjadi teman kami sepanjang masa. Mungkin mereka memandang kami sebagai wierdo, tetapi itulah kekuatan dan bekalan kami sepanjang pertandingan. Hari pertama kami lalui dengan agak tertekan namun, alhamdulillah kami menang 2 dari 3 perlawanan. Keesokkan harinya, sekali lagi berbekalkan restu seluruh warga Al-Amin dan doa kepada yang Maha Berkuasa, kami sekali lagi melangkah untuk berjuang. Lawan pertama kami pada hari itu ialah Sekolah Seri Puteri. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa bangganya kami dapat bertemu SSP. Salah sebuah sekolah yang terkenal dan popular di Malaysia. Kata kami, kalau kalah pun tidak apa. Sekurang-kurangnya, kami dengan bangga mengatakann, 'kami kalah dengan SSP'.
Keputusannya: kami mengalahkan SSP! Satu dewan gempar. Siapa Al-Amin? Kalahkan SSP! Semua itu kuasaNYA. Keajaiban dan kejayaan itu milikNYA. Satu persatu sekolah SBP kami sungkurkan. Akhirnya kami berjalan dengan rasa bangga membawa nama Al-Amin ke Semi-final, dan akhirnya perjuangan kami terhenti di situ.Ada hikmah disebalik semua itu...
Satu pembuktian yang berbekas di jiwa. Siapa kata Al-Amin tidak boleh? Kini, tiada siapa yang boleh persoalkan kebolehan kami. Mungkin kami masih perlu berjalan jauh untuk setanding dengan sekolah-sekolah kluster, namun kami telah mengorak langkah pertama dan tidak akan menoleh ke belakang lagi. Kata-kata(lebih kurang begitu) yang diucapkan oleh Ustaz Isharuddin kepada saya ketika bertemu SAINA buat kali kedua di perlawanan suku-akhir;
"Umat Islam yang betul-betul beriman dan bertaqwa tidak akan akan kalah kepada pihak yang sama dua kali"
Kata-kata yang tidak akan saya lupakan dan akan sentiasa menjadi pembakar semangat ketika saya menghadapai masalah. Terima kasih Ustaz!
Nampaknya sudah jauh saya tersasar. Hehehe. Berbalik kepada tajuk hari ini.
Umi memesan; pergilah dengan bangga sambil mengatakan, saya murid Al-Amin.
Alhamdulillah, temuduga saya berjalan dengan lancar. Tiba di Putrajaya International Convention Centre pada jam 9:40 pagi. Selepas mendaftar, saya dikehendaki menduduki peperiksaan bertulis(attitude test). Lebih kurang 200 soalan perlu dijawab dalam masa 30 minit.
Selepas itu, saya menunggu untuk ditemuduga. Sekali lagi saya bersyukur kerana, bekas rakan sekolah saya(pindah ke sekolah lain semasa F2) , Huda, satu kumpulan dengan saya. Ahli kumpulan saya semuanya perempuan, 7 orang semuanya (termasuk saya). Semuanya dari sekolah berasrama penuh kecuali saya dan Hidayah(sekolah harian di Bangi). Semuanya memohon jurusan perubatan kecuali saya(kejuruteraan). Semuanya bersekolah di sekolah kerajaan kecuali saya...
Semuanya berjalan lancar bagi saya kerana kami ditemuduga dalam Bahasa Melayu. Hanya sesi memperkenalkan diri saja memerlukan kami berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Saya selamat tiba dirumah jam 2:15 petang.
Kini, saya tidak sabar untuk dipanggil ditemuduga lagi. Seronok rupanya. Pergi dengan membawa imej Al-Amin. Moga-moga ada pihak yang akan memanggil saya untuk ditemuduga lagi. Amin...
eymanD.
'Ya Allah, Tuhan kami yang Maha Pemurah dan Penyayang. Bantulah kami, berilah kami kekuatan untuk menempuhi hari-hari yang mendatang, dan tetapkanlah hati kami di jalan-jalan orang-orang soleh, serta masukkanlah kami ke syurga firdausMU. Sesungguhnya Kaulah Tuhan yang Maha Mengasihi dan Maha memberi petunjuk. Amin.'
3 comments:
Buat solat istikarah byk2 dan s hajat...biar tetap sikit mana nak pilih jurusan.......!!!!!tapi kalau buat 2 alternatif pun ok.-best of luck...
all of wishes!
chaiyok!!smga enti semakin bercahaya di masa akan datang dgn imej enti sbg "al-amin"..insyaAllah
Post a Comment