Bila pena mula menari II

Wednesday, April 25
Assalamualaikum,

Bermula sekali lagi.

Menjadi pembaca yang tekun dan teliti. Mengambil apa yang baik dari penulisan seseorang. Begitulah bagaimana saya bermula. Sebelum saya terpanggil untuk bersuara. Kiranya, karya-karya Fahd Razy banyak membantu. Membaca karya-karya beliau buat saya terfikir, bolehkah aku menjadi seperti dia? Menulis seperti dia? Dalam keluarga besar kami, beliau adalah antara mereka yang berjaya. Bersekolah di Sekolah Alam Shah, berjaya di dalam SPM, dan kini, bakal menjadi seorang doktor.Paling penting, boleh menulis dengan baik (asyik menang sana, menang sini, tersiar sana, tersiar sini). Beliaulah yang selalu dijadikan contoh oleh kami-adik-adik sepupu yang baru nak merangkak, melihat dunia baru.(macam terlebih puji Amad je ni.Hehehe)

Kini, saya bermula sekali lagi. Setahun sudah berlalu. Pembaca yang tekun dan teliti.
Perjalanan saya kali ini saya mulakan dengan Kekasih Sam Po Bo-Faisal Tehrani. Sudah lama tidak mencerna karya Faisal Tehrani. Kali terakhir saya membaca karya beliau pada tahun lepas. Abah membelikan saya Tunggu Teduh Dulu. Namun, syarat dari umi: Lepas trial baru boleh baca. Sekitar bulan September agaknya.


Berbalik semula kepada perjalanan saya. Karya Faisal Tehrani memang tidak mengecewakan. Kali pertama saya mengenali beliau dan karyanya ialah pada MPR 2005. Malu rasanya apabila semua orang mengenali beliau, dan saya tidak. Aduh. Malu rasanya apabila rata-rata orang sudah membaca Kombat:1511H, saya belum. (Macammana boleh tak perasan? Sedangkan dalam Antologi Anak Laut-Ting. 4 pun ada karya beliau) Aduh.

Satu persoalan berlegar-legar di ruang legar fikiran saya: Penulis=aku?
Faisal Tehrani barulah layak digelar penulis. Saya?
Setiap karya beliau, paling tidak akan membawakan mesej-mesej yang berguna yang menjana saraf di otak untuk mencetuskan impuls-impuls bagi membolehkan kita berfikir. Karya saya? Aduh.

Aku belum layak di gelar penulis. Gelarlah aku blogger aje. Belum sehingga aku menghasilkan karya yang hebat.

Namun, jika direnung-difikir-ditenung kembali, 11 tahun di Al-Amin sepatutnya sudah cukup menjadi bekalan jika saya ingin menulis sesuatu yang hebat. Murid-murid Al-Amin yang semuanya hampir 500 orang cukup untuk saya jadikan watak-watak di dalam penulisan saya.(Belum campur dengan guru-guru, kerani, dan mak cik kantin. Hehe. Kecilnya Al-Amin).

Saya tidak akan menyepi lagi. Ada misi yang perlu dilaksana. Ada impian yang perlu dicapai. Saya sudah membeli sebuah tapak dalam dunia penulisan. Tiang rumah juga sudah saya dirikan. Kalau hari hujan, di mana saya hendak berteduh? Apa kata orang-orang kampung nanti? Saya akan siapkan rumah saya sebelum musim tengkujuh menyapa. InsyaAllah.

Pencapaian?

Haha. Tergelak seketika. Tergelak lagi. Kini, ketawa pula.

1. 'Kaca Mata Dina' - Tempat pertama, Pertandingan Menulis Cerita Pendek (Kategori I: 13-15 THN) Peringkat Nasional I anjuran DBP - 2005
2. 'Bingkisan Yusra', 'Komuniti Bas', 'Meniti Harapan' - Saguhati, Pertandingan Menulis Cerpen Sempena Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni anjuran KeKKWa - 2005
3. 'Kasih Siapa' - Dewan Siswa edisi Januari 2006

Layakkah saya digelar penulis? Bagi saya, belum. Kata anda?

eymanD.

Sedang membaca:
*Kekasih Sam Po Bo: Faisal Tehrani
*Sweetness in The Belly-Camilla Gibb
*Ayat-Ayat Cinta- Habiburahman El-Shirazy

Projek tertangguh sejak 2005/2006:
*Gerak Gempur
*Zaidi(tajuk sementara)
*Tangisan Empayar Habsburgs
*Elegi Tiya
*Muaz, Zaed, Amru (tajuk sementara)







No comments: