Winter break terhebat Pt. 2

Thursday, February 10
Salam alaik.

Malam tadi kami seakan-akan di malam raya. Tidur bertemankan bunyi meriam buluh. Bukan meriam buluh. Bunyi tembakan yang bertalu-talu. Terlena kami dek kepenatan mengharungi hari yang penuh cemas.

Kami mengharapkan keadaan kembali seperti biasa keesokkan harinya. Seperti hari-hari lain. Ceria dan gembira di bumi barakah.

Terputus hubungan dunia luar sangat mencemaskan. Mujur di rumah ada televisyen. Walaupun bukan jenis parabola, ( seperti Astro di Malaysia), siaran berita tempatan sudah mencukupi. Kami tahu berita yang disiarkan semuanya pro-kerajaan, namun, itu sajalah sumber maklumat kami sekarang, dan juga telefon landline.

Sepanjang malam, televisyen dibiarkan terbuka. Biar rumah seakan riuh rendah untuk menenggelamkan perasaan yang gundah gulana.

29.1.2011

Bunyi tembakan masih didengari selepas subuh.

Tamat sahaja tempoh berkurung, lebih kurang jam 9 pagi, keadaan di bawah rumah cuba untuk kembali normal. Kedai-kedai mula beroperasi namun, semua dalam keadaan berjaga-jaga. Hari ini perintah berkurung juga akan berjalan. 4 petang hingga 8 pagi.

Dalam jam 9:30 pagi, kami memberanikan diri untuk turun ke kedai. Membeli bekalan makanan, selepas memastikan keadaan di bawah rumah SELAMAT.

Ketika membeli beras di 'attarah, ammu di kedai tersebut mengatakan sesuatu berlaku di KZ (supermarket berdekatan dengan rumah), jangan kesana, pesannnya. Dia juga memberitahu keadaan pada hari ini akan bertambah baik daripada semalam.

( Rupa-rupanya KZ telah dirompak akibat dek kekacauan yang berlaku. Sebab itu ammu tersebut melarang kami kesana. Polis masih membuat siasatan)

Dia juga memberitahu kami bahawa line telefon sudahpun beroperasi seperti biasa. Peluang yang ada, terus kami gunakan untuk menelefon rakan-rakan. Khidmat SMS masih belum dipulihkan.

Walaupun talian telefon telah pun kembali, kami perlu mencuba beberapa kali untuk menelefon seseorang sebelum talian dapat disambungkan.

Hati tertambah cemas kerana adik di Alexandria tetap tidak dapat dihubungi. Selamatkah dia?

Kami hanya berhibernasi di dalam rumah sambil mengupdate keadaan semasa melalui telefon dah televisyen.

Puas saya cuba menghubungi adik dan meminta kawan-kawan di Alex membantu saya.
(Sorry man, popular awak sekejap di Alex :D Jangan mareee)

Media mengatakan keadaan sekarang sudah tidak terkawal akibat banduan-banduan yang terlepas. Terlalu banyak kes kecurian, dan abusement serta vandalism. Hati kembali berdebar.
Perintah berkurung pun bermula. Jalan di bawah rumah terus menjadi lengang. Apabila malam menjelma, Khayrat Street bukan lagi Khayrat Street yang dahulu. Gelap gelita. Sunyi sepi.

Kelihatan orang ramai masing-masing memegang kayu, parang dan pisau besar. Berlegar-legar di bawah. Masih tidak faham apa yang berlaku.

Rupa-rupanya rukun tetangga telah ditubuhkan bagi menjaga keselamatan masyarakat setempat. Polis tidak kelihatan di mana-mana. Hanya orang awam menjaga keselamatan. Semua orang tidak mengenal siapa berusaha untuk memelihara keamanaan di Lazoughly. Tidak kira usia dan status. Mereka anak-anak Nil yang berjiwa besar. Mereka jiwa-jiwa tinggalan para anbiya dan ulama. Mereka Masriyyin.

Kata orang, balai polis di Sayeeda Zeinab rentung.
Televisyen melaporkan kejadian mencuri menjadi-jadi di sesetangah kawasan.
Khabar angin melaporkan lebih 2000 banduan terlepas.
Bekalan air dan elektrik akan diputuskan dalam masa sejam.

Kami menjadi kalut. Segera menelefon Ummu Ehab, kakak kepada tuan rumah dan bertanyakan tentang keadaan semasa. Dia memberitahu bahawa keadaan selamat kerana pengjaga bangunan kami, Ammu Harbi berjaga dibawah. Tidak perlu bimbang. Jika terjadi apa-apa, kami diminta segera menelefonnya, dan dia akan menghantar anak lelakinya, Aiman untuk memantau.

Tidak lama kemudian, tuan rumah, Mr. Ahmad menelefon. Angkat saja telefon, dia terus bertanya: 'What are you afraid of?'

Kami juga menelefon junior-junior yang tinggal berdekatan untuk pindah masuk kerumah kami esok. Setelah dipersetujui, 6 orang junior akan berpindah masuk ke rumah kami keesokkan harinya selepas tamat perintah berkurung.

Di Saad Zaghloul, terdapat 5 buah rumah pelajar Melayu, kuliah perubatan Cairo University.
3 di Khayrat Street, 1 berdekatan stesen Metro Saad Zaghloul, dan 1 lagi berdekatan dengan Kasr El-Ainy Street, tidak sampai 2 kilometer/ 1 kilometer dari Medan Tahrir. Nama glamour kami, Budak Saad. :D


Malam itu kami dinasihatkan untuk membuat hirasah. Tidur berganti-ganti.

Turn saya dan seorang sahabat bermula pada jam 1 pagi. Tukul dan pisau di tangan. Sofa dikongsi dua orang. Televisyen dibuka agar kesunyian malam tidak terasa.

Lucu sungguh apabila tidur bersama tukul. Hehe.
Bunyi angin lalu saja cukup untuk membangunkan dan mencemaskan kami....
Sungguh, tidur memang tidak lena pada malam itu. Macam-macam rumours yang kami dengar.
Allah sebaik-baik tempat bergantung harap.

Sepanjang malam, keadaan masih lagi riuh rendah. Sekejap-sekejap kami mengintai dari tingkap. Kadang-kadang kelihatan para pemuda yang berjaga berlari-lari seakan mengejar sesuatu ke arah masjid Sayeda Zeinab, Sekejap-sekejap ke arah Tahrir.

Kepulan asap juga kelihatan di celah-celah bangunan di sebelah kiri. Kami kira ada kebakaran berlaku di sana kerana di sana terletakknya deretan bangunan kerajaan. Mungkin menjadi sasaran perusuh ataupun 'looters'.

Sungguh kami tidak tahu apa yang berlaku. Allahu'alam.

Satu lagi peristiwa lucu, kami tertidur semasa ber'hirasah', di sofa dan dihadapan televisyen yang terbuka. Bangun-bangun saja, dokumentari tentang sejarah King Tut disiarkan. Terkejut juga dibuatnya. Mumia, firaun, etc. Hehehe. Lebih kurang jam 3 pagi. :)

30.1.2011

Keesokkan harinya kami seperti zombi. Tidak cukup tidur dan dalam keadaan berjaga-jaga.
Kami mesti juga turun ke bawah rumah untuk membeli lagi beberapa barang keperluan rumah dan menjemput adik-adik yang mahu pindah masuk ke dalam rumah kami.

Lebih kurang jam 11 pagi, kami sekali lagi turun ke bawah selepas memastikan keadaan SELAMAT dan pergi membeli beberapa barang keperluan dan menjemput adik-adik.

Selepas semuanya selamat naik keatas, lebih kurang jam 1 tengah hari kami mendapat panggilan telefon yang meminta kami untuk berpindah ke Mounira.

Pada awalnya kami memang menolak ajakan itu mentah-mentah dan merasakan kami selamat di rumah sendiri. Ajakan demi ajakan, akhirnya kami bersetuju untuk berpindah ke Mounira pada jam 2 petang dan perintah berkurung akan bermula pada jam 4 petang.

Tergopoh-gopoh kami mengemas rumah kerana takut-takut kami tidak akan pulang kembali. Hanya Allah saja yang tahu apa yang akan berlaku. Hanya barang-barang penting sahaja yang kami kemas. Makanan pun hanya ambil apa yang sempat di capai walapun stok makanan kami banyak.

Baju-baju masih di ampaian. Peti ais masih lagi separa penuh. Mesin basuh masih lagi digunakan. Musyrif (peneman) dijangka akan menjemput kami pada jam 3 suku petang dan akan membawa kami ke rumah yang telah ditetapkan di Mounira.

Pada masa ini, hati yang terikat dengan dunia benar-benar diuji. Memang kami telah menyediakan satu beg kecemasan jika apa-apa terjadi namum hati masih lagi ingin memilih-memilih apakah barang yang ingin dibawa.

Jika difikirkan kembali, kami malu dengan para sahabat yang melepaskan dunia dan isinya ketika berhijrah. Harta, kekayaan, dan keluarga demi untuk Islam. Biar sehelai sepinggang.

Semua benda dirasakan penting namun keputusan perlu diambil. Tidak saya pandang beg yang baru dibeli. Belum sempat untuk dirasmikan. Buku-buku Medic dan buku tarbiyyah ditinggalkan begitu saja. Baju-baju dan barang-barang lain.

Biarlah dunia itu letaknya ditangan, bukan di hati.

Saya tahu, saya bukanlah pencerita terbaik. Saya juga terlalu banyak kekurangan dalam menghadapi medan praktikal ini. Namun apa yang saya mampu sampaikan adalah pengajaran buat semua. Jadi peringatan untuk masa depan.

Syukur, Allah masih lagi memberi peluang kepada saya untuk membaiki diri. Barulah saya tahu, saya ada kekurangan di situ. Barulah saya perasan apa yang perlu saya baiki.

Maaf saya dahulukan buat semua yang terlibat secara lansung ataupun tidak. InsyaAllah, saya akan cuba membaiki lagi diri. Doakan saya dan maafkan segala silap dan salah sepanjang tempoh 'praktikal' ini.

Moga anda semua memperoleh kebaikan. Jika tidak banyak. Sedikit pun jadilah.
Allahualam.

iman dashuki,
taman keramat.

ps: Kami memang di red zone, namum Alhamdulillah, sepanjang kami di rumah dari awal rusuhan dan hingga dipindahkan, keadaan masih selamat kerana kami berkurung di dalam rumah. Bekalan makanan mencukupi.

Rumah tingkat 8, lif tidak berfungsi dan mempunyai satu saja pintu masuk memang membuat kami yakin untuk tinggal di rumah. Tambahan Ammu Harbi bersengkang mata dengan anak-anaknya serta penghuni imarah untuk membuat hirasah.

Harap tiada sesiapa yang salah faham tentang keadaan kami di Mesir. Saya hanya ingin berkongsi bukan menimbulkan kontroversi..

Harap maklum. Allahualam.

2 comments:

Anonymous said...

lorghh ada yg menimbulkan kontroversi ke..erm bia je la..ada smbnungan lagi kan..nk dgr lagi sbb masa nt kat sana, Ya Allah risau gler..so cam nk taw pengalaman nt..

mmg sgt berguna berkongsi pengalaman ni..

Khazinatul_Asrar said...

Pengajaran yang sungguh berharga! Tarbiyyah dariNya sgt2 mendalam.

Semoga terus tsabat. InshaAllah Mesir akan kembali aman dengan pemerintahan yang bertunjangkan Islam luaran dan dalaman. Ameen.