(tajuk post yang tidak ada kena mengena lansung - saya agak)
Pejam celik sahaja, saya kini berusia 17 tahun - murid tingkatan lima yang sedang menghitung hari untuk bebas dari sistem persekolahan [ bukan menghitung hari untuk menduduki SPM ] . Memang menyeronokkan apabila kita bebas dari dunia persekolahan dan menjejakkan kaki ke alam yang baru. Semua baru.
Saya juga seronok apabila memikirkannya. Saya akui saya sudah menyenaraikan beberapa perkara yang ingin saya lakukan apabila saya tamat sesi persekolahan saya. Kesimpulannya= memang seronok+sangat ghairah+sangat bahagia apabila kita sudah tidak menyarung baju seragam sekolah lagi, tidak perlu bangun tepat jam 5.45 pagi lagi, tidak perlu menggosok baju sekolah lagi, menjahit lencana, memakai kasut sekolah, menunggu bas dan bermacam-macam lagi.
Namun, di celah-celah kegembiraan yang menggunung, jauh di ceruk hati, amat berat bagi saya untuk meninggalkan alam persekolahan. Mungkin saya akan dianggap sebagai seorang yang terlalu beremosi ataupun sentimental. Tapi ini kenyataan. Selama 11 tahun hidup saya 'terikat' dengan sistem pendidikan negara. 11 TAHUN! Bukan satu tempoh masa yang singkat. Saya dididik dengan pelbagai ajaran. Adanya guru-guru yang selalu memberi bimbingan dan nasihat. Adanya rakan-rakan yang banyak membantu ketika suka dan duka. Adanya sokongan keluarga. Boleh dikatakan mereka-mereka inilah yang telah 'membentuk' saya sebagai saya pada hari ini.
Kenangan-kenangan seperti dimarahi guru, didenda, kerja rumah yang bertimbun, aktiviti sukan yang tidak disukai, warung-warung kopi yang sudah pun membuka cawangan-cawangan tetap dan rakan-rakan seangkatan yang tidak segan silu untuk memberi dan menerima. Hanya Tuhan yang tahu sejauh mana keakraban kami.
Saya tahu, dunia yang bakal saya tempuh bukan lagi dunia 'permainan' yang sudah saya tempuhi selama 11 tahun. Dunia yang berada di depan saya adalah dunia yang lebih serius dan boleh saya katakan medan peperangan yang sebenar. Medan di mana saya akan diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Lebih memeritkan, sebuah dunia yang harus saya tempuhi seorang diri.
Saya dapati ramai orang takut-takut meluahkan apa yang terbuku di hati. Mereka takut digelar beremosi ataupun seperti saya dan rakan-rakan selalu labelkan: EMO. Nasihat saya kepada mereka dan juga kepada diri saya, jangan pendam apa yang ingin diluahkan kerana masa depan tidak boleh diramal. Kita bukan ahli nujum.
Hari ini kita berjanji akan sehidup semati
Esok lusa so idup so mati
Hari ini kita punyai ramai kawan
Esok lusa kita keseorangan
Hari ini kita memendam perasaan
Esok lusa kita tiada kenangan yang boleh dikenang
Maafkan saya jika saya beremosi. Namun, inilah yang lahir dari hati seorang pelajar tingkatan lima yang sedang menghitung hari untuk menamatkan sesi persekolahannya sekaligus memulakan zaman pra-dewasanya.
Sesekali kita perlu menoleh ke belakang...
eyman D.
Subscribe to:
Posts (Atom)